Pasar Saloma dibuka tanpa perjanjian, waris nak bawa ke mahkamah

Sedar nama Allahyarham Puan Sri Saloma dipergunakan pihak tertentu, vokalis Blues Gang, Ito Mohd. kini dalam proses membantu menantunya iaitu Arzani Armali menguruskan isu hak harta intelek nenek lelaki itu yang juga Biduanita Negara.

Ito, 74, memaklumkan, penggunaan nama Allahyarham Saloma dalam pelbagai acara seperti Pasar Saloma dibuat tanpa pengetahuan mahupun kebenaran waris yang masih hidup.

“Ramai yang tidak tahu bahawa Armali adalah besan saya. Baru-baru ini, ada dibuka Pasar Saloma tanpa sebarang perjanjian.

Tolonglah, Saloma ada anak dan cucu. Ini yang saya rasa kurang mengenai harta intelek di Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar Blues Gang Apo Nak Dikato, baru-baru ini.

Bapa Arzani iaitu Armali Aman Ramlie adalah anak hasil perkahwinan Saloma bersama Allahyarham AR Tompel.

Selain itu, pelantun lagu Apo Nak Dikato itu memaklumkan, Arzani meminta pendapatnya mengenai prosedur yang perlu dilakukan terhadap penganjur acara Pasar Saloma terbabit.

Saya berbincang dengan penganjur Pasar Saloma. Menantu saya cakap, apa perlu buat sebab mereka tidak buat surat tetapi nama dan gambar Saloma digunakan. Dia biduanita negara.

“Minggu lalu, saya sudah berjumpa dengan penganjurnya dan berbincang dua perkara iaitu mahkamah serta selesaikan di luar mahkamah.

“Penganjur belum cakap apa-apa dan jadi, dua minggu selepas perbincangan pertama, kalau tiada sebarang keputusan terbaik, kami akan rujuk kepada peguam,” kongsinya.

Ditanya mengenai tindakan lanjut, Ito mahu membawa isu ini ke mahkamah kerana nama Saloma masih belum boleh dijadikan ‘public domain‘ memandangkan tempoh kematian wanita itu belum mencapai 50 tahun.

“Kami akan bawa ke mahkamah sebab keturunan dan pewaris Saloma masih ada. Mana boleh buat ikut suka sahaja sebab belum jadi khazanah.

Selepas 50 tahun kematian seseorang, barulah boleh jadikan ‘public domain’. Sebelum itu masih belum boleh. Macam saya nanti dah mati, kena jaga juga benda begitu.

“Saya tengok di televisyen, Ahmad Dhani menyanyi lagu Madu Tiga di depannya ada berpuluh ribu orang. Memang kena bayar.

“Kalau mereka cakap P Ramlee dah meninggal dunia lebih 50 tahun tetapi sebenarnya undang-undang Indonesia, jangka hayat ‘public domain’ adalah 70 tahun,” jelasnya lagi.

Selain menggunakan nama, pengajur acara turut menggunakan gambar Saloma dalam banner dan mengangkat tema klasik yang jelas menunjukkan merujuk kepada Biduanita Negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok