Panel lebih arif, pencapaian Siti Nurhaliza beri impak positif – Azharina

Bagi saya Siti Nurhaliza layak dilantik sebagai pakar.”

DEMIKIAN kata penyanyi Azharina Azhar yang tampil mempertahankan pemilihan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).

Menurutnya, kelayakkan penggiat seni yang berpengalaman luas selain menempa nama di persada antarabangsa seperti Siti Nurhaliza tidak wajar dipertikaikan apatah lagi statusnya selaku ikon tempatan.

Artis juga layak bergelar pakar lebih-lebih lagi dalam bidang yang sudah lama mereka ceburi misalnya nyanyian.

“Masing-masing memiliki pengalaman yang bukan setahun dua tetapi berpuluh tahun dengan melalui proses pembelajaran sepanjang bergelar anak seni,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Azharina lagi, meski tidak begitu rapat dengan Siti, dia sangat menghormati penghibur terbaik negara itu.

“Siti seorang ‘legend’. Jujur, saya tidak rapat dengannya dan hanya kenal beliau sebagai teman seperjuangan dalam industri muzik.

Secara peribadi, selama ini saya lihat Siti Nurhaliza banyak memberikan impak positif terhadap artis lain dengan pencapaian dimiliki.

“Pakar juga ada bermacam kategori termasuk teknologi, ekonomi, gastronomi dan sebagainya, kita kena ingat Siti Nurhaliza berada dalam kelas tersendiri,” katanya selepas pelancaran single duet bersama Kozae, Realiti di Kedey Kamek, Sunway Putra, baru-baru ini.

Anak seni asal Sarawak itu turut memuji sikap Siti yang tidak pernah jemu menggali ilmu dan mempertingkatkan kemahiran diri termasuk berusaha memperbaiki bahasa Inggerisnya satu ketika dulu.

Atas sebab itu tegas penyanyi lagu Elegi Sepi terbabit, Siti sememangnya layak diiktiraf sebagai pakar dalam bidang nyanyian.

Saya juga pasti panel yang membuat pilihan berpengalaman dan tahu untuk melantik siapa yang layak berdasarkan kredibiliti ditetapkan.

“Bagi saya Siti Nurhaliza sangat layak dalam teknikaliti nyanyian yang dimiliki serta pencapaian hampir 30 tahun bergelar penyanyi.

Adatlah manusia ada yang suka ada yang tidak, hakikatnya Siti Nurhaliza sangat layak,” ujarnya.

Terdahulu, Siti lebih selesa menunggu kenyataan rasmi daripada institusi terbabit sebelum memberikan maklum balas berhubung polemik pemilihannya sebagai pakar di pusat akademik di bawah Canseleri Universiti Malaya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok