Paduan vokal Ernie Zakri, Aina Abdul di Konsert Destiny of Music

PADUAN suara dua penyanyi, Ernie Zakri dan Aina Abdul bakal menggegarkan konsert Destiny of Music yang akan diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 29 Jun ini.

Konsert dibawakan Be De Paris Beauty Project itu membariskan deretan lagu tradisional selain mengetengahkan aneka genre dendangan popular era 1980-an hingga kini.

Penganjurnya, Burhan Ahmad, kemuncak acara yang turut diiringi Orkestra UiTM bakal menyaksikan Ernie dan Aina berduet menyampaikan lagu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kurik Kundi.

Ibarat serampang dua mata, Be De Paris Beauty Project ini mempersembahkan sebuah konsert yang menghimpunkan ramai penyanyi hebat dengan repertoire persembahan dari lagu terkini, era lalu sehingga genre tradisional dan irama Malaysia.

“Sebelum ini pun kita selalu tengok kedua-dua artis ini menyanyikan lagu balada, tetapi kali ini mereka akan bergabung tenaga menyampaikan seleksi tradisional yang tentu sahaja meninggalkan impak.

“Bukan hanya dua penyanyi hebat itu, dalam tempoh tiga jam lebih 20 dendangan aneka genre bakal berkumandang di segenap dewan,” katanya.

Selain Ernie dan Aina, persembahan mega itu juga disertai Kugiran Masdo, Haziq Rosebi dan juga barisan penyanyi serta pemuzik UiTM.

Menurut Burhan, Konsert Destiny of Music yang membuka peluang khalayak menikmati alunan lagu tradisional, irama Malaysia, pop dan balada turut menyajikan genre R&B serta suntikan irama jazz.

Segmen tersebut diisi dengan kemunculan penyanyi dan komposer yang pernah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now 2022, Rayme Zainal.

Pada masa sama, Burhan berkata projek yang turut dibantu pelajar UiTM itu juga merupakan konsert amal dengan sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Pelajar UiTM.

“Kita dapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebab penganjuran konsert perlukan tajaan yang banyak, jadi kerajaan mengeluarkan potongan cukai untuk mana-mana pihak yang menjadi penaja kami.

“Kewangan kini lebih kepada budget untuk menampung perbelanjaan dan konsep kami lebih kepada konsert amal sebab 15 hingga 20 peratus hasil jualan tiket akan salurkan kepada Tabung Pendidikan UiTM sebenarnya.

“Bagi yang ingin menjadi penaja mahupun rakan kolaborasi, memang kami sangat alu-alukan kerana jika ada permintaan, kita boleh bawa konsert ini ke negeri lain,” ujarnya.

Tiket boleh ditempah di Ticket2U.com dengan harga bermula dari RM98 hingga RM488 dan pembelian secara berkumpulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok