Obsesi unik 5 bintang Korea

SETIAP individu pasti mempunyai hobi masing-masing bagi mengisi masa senggang.

Namun, hakikatnya semakin kaya seseorang itu semakin luar biasa hobi yang mereka lakukan lebih-lebih lagi individu yang terkenal seperti selebriti. 

Jangan tersilap. Kalau sudah namanya selebriti hobi mereka bukan bernyanyi atau menari sebaliknya perkara tersebut dijadikan sebagai satu pekerjaan untuk menyara hidup. 

Kali ini, Daebak tampilkan lima selebriti Korea Selatan pujaan ramai yang mempunyai hobi unik.

V BTS

MAHIR menyanyi, menari dan mencipta lagu, siapa sangka anggota kumpulan BTS iaitu V juga pandai bermain dengan kamera. 

Perkara ini diketahui umum apabila V secara terbuka pernah memuji kecantikan gambar yang diambil seorang jurufoto bernama Ante Badzim. 

Kadangkala, pemilik nama lengkap Kim Tae-hyung itu sengaja menggabungkan namanya menjadi Vvante kerana sering memuat naik hasil skil fotografinya dalam media sosial. 

N VIXX

UMUM  mengetahui pelakon dan penyanyi N dari kumpulan VIXX merupakan seorang peluncur ais. 

Namun, siapa sangka dia juga mempunyai hobi yang unik iaitu membuat lilin. 

Semasa sesi ramah mesra bersama peminat di Jepun, pemilik nama lengkap Cha Hak-yeon menjual kira-kira 630 batang lilin yang dihasilkannya sendiri. 

Hasil jualan tersebut didermakan kepada mangsa tsunami di negara matahari terbit tersebut. 

Park Hae-jin

KEBANYAKAN remaja gemar mengumpul kasut dan sanggup berhabis duit demi memuaskan hati mereka. 

Hal yang sama dilakukan pelakon Park Hae-jin yang sangat menggilai koleksi kasut ‘sneakers’. 

Kebiasaannya, pelakon drama The Killing Vote itu mengumpul kasut jenama Nike dan sanggup membeli dengan harga mahal. 

Dia juga mempunyai lebih seribu koleksi kasut dan satu bilik khas untuk menyimpan kesemua kasutnya. 

Ji Chang-wook 

PELAKON Ji Chang-wook mendedahkan hobinya yang suka bermain motosikal berkuasa besar. 

Meskipun dia tidak suka kelajuan, pelakon drama  ‎Welcome to Samdal-ri itu gemar menikmati angin ketika menunggang motosikal. 

Dalam masa sama, dia pernah memuat naik foto bersama motosikal dan mendedahkan mempunyai geng motosikal yang terdiri daripada teman rapatnya. 

Sungjae

MESKIPUN usia masih muda, siapa sangka penyanyi Sungjae sangat menggemari aktiviti memancing. 

Dia sangat mahir memancing sehingga pernah mendapat ikan sebesar 70 sentimeter di Sungai Han. 

Sungjae atau Yook Sung-jae memaklumkan dia mula menyukai hobi tersebut apabila sering mengikuti datuknya. 

Pada 2017, Sungjae diundang menyertai rancangan memancing sekali gus mendedahkan sudah lama teringin beraksi dalam program seperti itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok