ANUGERAH terindah! Itu nikmat kurniaan Allah SWT buat pasangan penyanyi Datin Alyah dan Datuk Ramli MS ketika ini yang tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur dengan kehadiran anak angkat diberi nama Nur Izzara.
Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 43, berkata, bayi perempuan tersebut membawa makna besar dalam kehidupannya dan suami tercinta.
“Bila kita mencari cinta dunia, banyak hati yang kecewa dan hati kita juga, malah hancur dan remuk.
“Tapi, bila kita mencari cinta Allah SWT, segalanya seperti mimpi yang indah.
“Terlalu banyak kebaikan yang diberikan kepada kita hingga ada kalanya kita malu nak meminta lebih kerana banyaknya dosa-dosa kita,” tulisnya dalam Instagram yang disertakan gambar bertiga dengan si kecil.
Foto itu dikongsi sempena majlis akikah dan kenduri doa selamat yang diadakan di Batu Pahat, Johor sebelum mengerjakan haji.
Dihadiri keluarga dan teman rapat, penyanyi lagu Kisah Hati itu mengakui ketentuan Allah adalah yang terbaik.
“Allah SWT mengetahui apa yang ada dalam hati setiap hamba-Nya dan merupakan sebaik-baik perancang.
“Nur Izzara hadir dalam hidup kami. Tidak pernah kami terfikir dalam perancangan kehidupan yang kami lalui dan sesungguhnya Engkaulah perancang terbaik bagi setiap hamba-Mu.
“Peringatan buat diri, walaupun telefon bimbit ada kalendar yang mampu merancang segala jadual saya, tapi saya tetap tidak mampu melawan perancangan Allah SWT yang Maha Hebat dan Maha Kasih,” ujarnya.
Menerusi hantaran sama Alyah turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga serta semua yang merealisasikan majlis tersebut.
Tidak ketinggalan, Alyah turut menitipkan ucapan terima kasih kepada penduduk setempat memandangkan majlis tersebut diadakan di kampung abang iparnya.
“Terima kasih buat Abang Ajis dan Kak Chik sekeluarga menguruskan segala-galanya untuk majlis akikah cukur jambul Izzara dan kenduri doa selamat buat saya sebelum menunaikan haji.
“Terima kasih adik beradik yang datang dari jauh, pakcik makcik juga saudara mara, ipar duai yang datang dari Singapura. Hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya.
“Terima kasih buat sahabat handai yang sudi bertandang memeriahkan lagi majlis kami dari jauh dan dekat. Terima kasih sangat-sangat. Terharunya saya,” katanya.
Terdahulu, perkahwinan Alyah dan maestro muzik yang mesra disapa Tok Ram itu sudah memasuki tahun ke-11 namun belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM