SAAT artikel ini dilunaskan, penulis baru berkesempatan menghabiskan episod pertama siri Netflix originals berjudul Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams.
Benar, kalian tidak salah mendengar. Indonesia sudah punya siri originals Netflix yang diarahkan pengarah Joko Anwar dan dibintangi barisan pelakon luar biasa mereka.
Satu kebanggaan yang membuatkan ramai termasuk pemerhati Malaysia kagum dengan hasil kerja para pelaku seni negara seberang. Semakin hari, semakin mendunia atas nama seni filem.
Berbaki enam episod, apa yang boleh penulis rangkumkan seawal menamatkan episod pertama adalah projek ini sangat luar biasa seninya dan pada masa sama, terkandung kreativiti wajar diteladani semestinya elemen misteri yang menderas adrenalin penonton.
Dari segi teknikal termasuk kesan khas, sinematografi Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams adalah ‘blueprint’ atau cetakan biru yang patut dicontohi pelaku-pelaku seni filem Asia Tenggara terutamanya.
Rasa seperti Indonesia sekarang sudah ‘mencucuk’ Hollywood dan terus menghasilkan naskhah-naskhah yang luar biasa kualiti dan ideologinya. Bayangkan sebuah projek seni berjaya ‘dibida’ Netflix yang mempunyai nama pengarah di tajuknya. Luar biasa!
Dari segi naratif, Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams boleh kurang tahan kemenjadiannya.
Setakat episod pertama berjaya memberi pengajaran bahawa jangan sesekali terfikir untuk meletakkan orang tua kita sayangi yang sudah membesarkan kita di rumah orang tua sembarangan.
Jangan jadi seperti Panji lakonan Ario Bayu yang menyesal kemudian selepas berbuat demikian. Bukan itu sahaja, dia tidak menyangka apa berlaku kepada dirinya dan orang tersayang kerana rumah orang tua bukan seperti apa yang diharapkannya.
Itu sedikit ‘spoiler’ Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams. Apa yang membanggakan adalah nilai produksi siri berkenaan yang sudah seperti apa ditonjolkan Hollywood dan paling tidak pun pemain seni filem Korea Selatan.
Disebabkan penulis masih belum menghabiskan ketujuh-tujuh episod, markah penuh untuk Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams berstatus ‘pending’.
Kendatipun, setakat episod pilot atau sulung, markah jujurnya adalah A cemerlang kerana memang berkualiti Hollywood yang lain daripada lain.
Datang pula daripada kerangka minda genius Joko yang sebelum ini memang terkenal dengan karya-karya seram. Memang apa dipentaskan di Netflix merupakan tanda aras baharu buat produk seni Asia Tenggara.
Syabas buat Joko dan pasukannya yang berjaya menghabiskan Joko Anwar’s Nightmares and Daydreams. – HIBGLAM