DIDAKWA perkahwinan tidak direstui dan tidak diketahui nenek yang juga dramatis, Rozie Othman, bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya menegaskan sudah memberi bayangan awal kepada insan kesayangannya itu mengenai keputusan mendirikan rumah tangga.
Pun begitu, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, memahami perasaan terkejut neneknya yang ketika itu sedang mengerjakan umrah apabila dimaklumkan keinginan bernikah dengan segera.
Sebenarnya saya sudah cakap dan bagi ‘hint’ dekat nenek yang saya mahu kahwin. Saya seorang yang suka simpan masalah dan sesuatu hal sendiri, dah lama baru beritahu orang.
“Saya minta doakan hubungan saya, kebetulan dia (nenek) sedang mengerjakan umrah dan minta doakan di sana. Dia terkejut sebab balik sahaja dari Mekah, saya nikah.
Sebelum nak majlis akad nikah ada telefon dia beritahu sebab tak sangka nak nikah ketika dia sedang berada di Tanah Suci Mekah,” katanya kepada HibGlam.
Sementara itu, suaminya Nasrullah memberitahu, mereka sudah berjumpa dengan Rozie sejurus beliau pulang dari mengerjakan umrah dan menjelaskan segala perkara secara terperinci.
“Saya dan isteri sudah lama tidak berjumpa dengan nenek. Selepas kami bernikah ada pergi bertemu nenek dan dia sangat baik.
“Dia terima perkahwinan kami, dia ada belanja tau fu fah (makanan),” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi yang berlangsung di Magica Subang Hall, malam tadi.
Dalam pada itu, Syasya turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan suaminya, Nasrullah Mohd Sapie, 23, tidak bekerja.
“Perangai kebanyakan nenek suka dengar cerita daripada pelbagai pihak. Kemudian buat rumusan daripada cerita yang didengar.
“Bila dah jumpa nenek, terangkan segalanya dan sudah jumpa Nasrullah secara berdepan, dia gembira serta ucap Alhamdulillah,” ujarnya.
Imbas kembali, pada 8 April lalu, Syasya mengejutkan peminat apabila mengumumkan tidak lagi bersama Dolla dan difahamkan keputusan tersebut dibuat atas faktor peribadi.
Bagaimanapun pada 21 April lalu, pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan Syasya sudah selamat bergelar isteri. Hal itu, susulan foto pernikahan Syasya dan suami tersebar dalam media sosial. – HIBGLAM