SUDAH berumur 41 tahun dan saya kini dalam hospital, ICU.”
Demikian perkongsian bekas suami pelakon Nora Danish, Nedim Nazri yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Perkara itu dimaklumkan Nedim atau nama sebenarnya, Mohamed Nedim Mohamed Nazri menerusi Instagram Story dengan memuat naik sekeping foto menunjukkan dirinya terlantar di atas katil.
Pun begitu, tidak diperincikan mengenai penyakit atau kecelakaan yang menimpa duda anak dua itu.
Lebih menarik perhatian ramai, Nora juga dilihat meluangkan masa menziarahi bekas suaminya itu, selain menitipkan kata-kata semangat.
“Stay strong daddy (terus kuat daddy),” tulisnya menerusi Instagram Story yang berlatarbelakangkan foto ahli perniagaan itu.
Semakan HibGlam menerusi platform media sosial mendapati, rata-rata netizen memuji sikap terbuka Nora dan Nedim yang masih berbaik meskipun sudah bercerai.
“Baiknya Nora, bekas suami sakit pun dia sempat pergi melawat. Memang profesional,” komen seorang netizen.
Sepatutnya pasangan bercerai kena contohi mereka, tak bergaduh, masa sakit pun datang jenguk,” demikian komen seorang lagi pengguna media sosial.
Terdahulu, Nora dan Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Sebelum itu pada 29 April lalu, aktres tersebut mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.
Nora mengaku dia dan Nedim berusaha mengekalkan hubungan sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak mereka.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Nora juga pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM