“ASSALAMUALAIKUM semua, saya Nabil Ahmad, di bulan yang suci dan mulia ini ingin memohon maaf andai ada ayat saya yang mungkin mengundang rasa tidak selesa sesetengah pihak dan menyinggung mana-mana individu.”
Demikian kata pengacara popular, Nabil Ahmad, 40 yang membuat permohonan maaf atas kekhilafannya terlanjur mengulas isu ustaz direhatkan.
Menyedari kesilapan, pelawak yang juga pelakon dan pengarah filem itu menegaskan akan lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.
“Saya akan cuba untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Segala yang baik datangnya daripada Allah dan segala yang buruk, salah dan silap itu daripada diri saya sendiri,” ujarnya
Nabil mencuri perhatian apabila menzahirkan pandangan tidak bersetuju dengan isu pendakwah terkenal direhatkan daripada sebuah program, baru-baru ini.
Pada perbincangan yang turut membabitkan beberapa tetamu jemputan lain dalam rancangan Meletop kendaliannya, dia menyebut ustaz masa kini diuji kerana ramai sudah direhatkan.
“Kita melalui zaman di mana uztaz-ustaz kita diuji. Orang-orang baik sedang diuji. Contohnya sekarang ramai ustaz direhatkan.
“Ini bila orang yang terlebih bijak dan pandai buat penghasutan padahal benda tu ada kebenarannya, kalau tak benar pun boleh diperbincangkan dengan baik,” katanya.
Susulan itu, potongan klip video tersebut telah tular seterusnya Nabil menjadi sasaran kecaman berikutan komen lantang berkenaan.
Seorang pemilik akaun X mengingatkan agama akan rosak andai berkiblatkan selebriti dalam berhujah, bukan al-Quran atau hadis.
Terdahulu, Ustaz Don Daniyal digugurkandaripada mengendalikan program Salam Baitullah selepas didakwa mengulas hal berkaitan guru dengan bersandarkan hadis lemah. – HIBGLAM