‘Mustahil kembali bersama, maruah saya dah tercalar’

SAYA perlu pertahankan diri dan maruah saya.”

Demikian luahan  vokalis kumpulan OAG, Radhi yang kecewa imej dan maruahnya tercalar gara-gara terpalit tuduhan mencederakan bekas isteri.

Ujar Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 47, banyak pihak menjatuhkan hukum tanpa mengetahui cerita sebenar, sekali gus  berasa ragu-ragu  untuk menawarkan sebarang jemputan persembahan.

“Kes ini banyak beri kesan terhadap karier saya. Siapa yang mahu beri tawaran (persembahan) kepada orang yang pukul perempuan kan.

“Ibaratnya orang dah jatuhkan hukuman kepada saya terlebih dahulu, tapi saya tak boleh salahkan sesiapa sebab itu persepsi masing-masing.

“Apa yang saya boleh buat selama ini pun hanya bersabar, saya bukan sesiapa, saya bukan orang yang ada nama,” katanya kepada HibGlam.

Bertalu-talu dihambur caci maki berikutan kes tersebut, pelantun lagu Generasiku itu menegaskan mustahil dia kembali bersatu dengan bekas isterinya, namun tidak akan bermusuh demi kesejahteraan anak-anak.

“Perlu ada keadilan untuk saya, saya berhak bersuara juga, saya perlu pertahankan diri dan maruah saya.

Berbaik dengan dia? Ya, kembali bersama? Mustahil. Dia pun dah buat saya sampai macam ini. Berbaik pun dah cukup demi anak-anak.

“Jadi saya teruskan apa yang dia mulakan (laporkan), saya dah banyak bertolerasi terutama bila dituduh memukulnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Seksyen dan Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Radhi hadir ke Kompleks Mahkamah Seksyen dan Majistret Petaling Jaya pagi ini bagi prosiding kes pukul bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri.

Pada Julai tahun lalu, Nur Shahira mengesahkan bahawa dia belum menarik semula laporan polis berhubung kes berkenaan berikutan terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan.

Pada prosiding kes 21 Jun tahun lalu, bagi menyelesaikan kes diluar mahkamah Nur Shahira telah meminta bekas suaminya untuk membayar sebanyak RM300,000.

Terdahulu, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja mencederakan bekas isterinya pada 19 April 2022 kira-kira pukul  2.29 petang di Kota Damansara, Selangor.

Justeru, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Radhi kemudian mengaku tidak bersalah di atas pertudahan tersebut.

Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah,8, dan Muhammad,7. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok