KONSERT Makan Malam Amal The Legends bagi mengumpul dana membantu penggiat seni mencapai sasaran apabila meraih RM100,000 hasil jualan meja.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, selain dana kerajaan, pelbagai aktiviti dirancang bagi mencari sumber kewangan dalam usaha meringankan beban lebih ramai artis yang memerlukan.
“Setakat ini kami dapat kutipan melebihi sasaran apabila semua 90 meja berjaya dijual selain hasil bidaan dua lagu yang disampaikan dalam konsert.
Malam tadi kita hulurkan sumbangan kepada lima penerima iaitu Zaiton Sameon, Mak Wan, Isma Aliff, Ross Arifin dan anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali.
“Hampir setiap bulan kita beri sumbangan kepada sesiapa yang berdepan musibah malah sebelum ini pun Karyawan pernah menganjurkan Pertandingan Golf Amal serta program lain untuk tujuan ini,” katanya selepas majlis makan malam.
Menurut Freddie, masih ada sebilangan penggiat seni hidup dalam kesukaran akibat uzur, sakit kronik dan hilang sumber pendapatan membuatkan persatuan terbabit sentiasa berusaha mengisi tabung bantuan.
Katanya, walaupun ada yang sudah menerima bantuan daripada agensi kerajaan, pihaknya tetap menyalurkan sumbangan mengikut keperluan penerima.
“Individu yang tiada pendapatan selalunya memerlukan perbelanjaan tambahan kerana jumlah yang diterima adakalanya tidak dapat menampung kos tambahan seperti tambang ke hospital.
Jadi kena ada bantuan secara konsisten yang kita harap dapat terus kita berikan sebagai tanggungjawab sosial terhadap golongan sasaran.
“Menerusi wang dikumpul ini, kita akan agihkan pula kepada penggiat seni yang sudah dikenal pasti,” ujarnya.
Makan Malam Amal Legends yang berlangsung di Dewan Perdana Felda menampilkan persembahan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Rahimah Rahim, Noorshila Amin dan Ezlynn.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman sebagai tetamu kehormat. – HIBGLAM