Masing-Masing versi tradisional lebih galau

MEMUKAU emosi banyak jiwa. Itu fenomena lagu nyanyian Ernie Zakri, Masing-Masing yang meraih sambutan hangat bukan saja dalam negara bahkan di seberang.

Single garapan komposer, Indonesia Ade Govinda itu turut melakar sejarah tersendiri apabila menduduki carta teratas stesen radio tempatan dan Indonesia selain ‘trending’ dalam laman sosial.

Menyedari penerimaan ramai terhadap, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, itu mencuba kelainan apabila merakamkan lagu berkenaan dalam versi tradisional.

Ernie berkata, versi baharu itu memberikan pengalaman yang berbeza buat dirinya apatah lagi ini pertama kali dirakamkan dalam genre istimewa dengan disifatkan lebih galau.

LAGU Masing-Masing versi tradisional dikatakan lebih sarat kemelayuan dan mendayu-dayu berbanding versi asal.

Pengalaman sudah tentu sangat berbeza sebab ini pertama kali saya merakamkan genre tradisional yang secara tidak langsung mencabar kemampuan.

“Hakikatnya proses rakaman tidak sukar kerana pertama kali dengar instrumental irama Masing-Masing pada pelancaran album Aura pada November lalu, saya terus bersetuju lagu ini digarap dalam versi lain.

Apabila ramai peminat minta kami rakam bahagian vokal, saya fikir ini peluang terbaik untuk saya memanjangkan tempoh mempromosikan lagu Masing-Masing.

“Saya harap ramai dapat menikmati lagu ini sebagaimana mereka mendengarkan seleksi lain kerana Masing-Masing versi tradisional sangat berbeza sentuhannya,” katanya.

Menurutnya, versi baharu itu hasil gabungan idea dan susunan semula daripada Feros dan komposer Amy Bong.

Saya harap agar usaha kami tampil dengan kelainan membuka ruang baharu untuk saya dan rakan-rakan penyanyi lain menghasilkan lebih banyak lagu irama tradisional.

“Saya fikir kena bermula sekarang. Setakat apa yang sudah dikeluarkan untuk ‘teaser’, ramai suka jadi pendengar boleh jangka hasilnya sebab mereka sudah tahu versi asal.

Perasaan sayu itu akan lebih dirasai dan meresap dalam jiwa kerana versi tradisional lebih mendayu-dayu,” ujarnya.

Sementara itu, Ade yang terkenal di Indonesia sebagai komposer lagu galau turut memuji keindahan Masing-Masing versi tradisional.

ERNIE berharap usahanya menghasilkan Masing-Masing versi baharu akan menjadi inspirasi penyanyi lain untuk turut memeriahkan penerbitan lagu irama tradisional.

“Pertama kali Feros perdengarkan kepada saya Masing-Masing versi tradisional ini, saya sangat terkejut sebab tempo lagu ini menjadi perlahan.

“Kedengaran melodi serta liriknya sangat indah sekali gus menyerlahkan lagi bunyi kemelayuan selain sarat penjiwaan,” tuturnya.

Kemelayuan

Menurut Amy pula, perincian dendangan itu sudah dibincangkan antara Feros dan Ade bagi memberi kelainan kepada kerjaya nyanyian Ernie.

“Kami tahu Ernie boleh menyanyi banyak genre muzik dan banyak mendengar rujukan dari media sosial serta nyanyiannya secara langsung.

Irama tradisional Ernie memang hebat, jadi tak salah jika kita angkat semula irama ini dan boleh berikan warna berbeza dalam industri muzik.

“Sekarang banyak lagu-lagu rancak dan irama tradisional kurang diangkat, jadi disebabkan itu juga kami buat,” katanya.
Masing-Masing adalah single pertama yang dipertaruhkan daripada album Aura dan video muzik rasmi lagu berkenaan sudah mencecah 6.6 juta tontonan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok