Masayu Anastasia ‘Suzzanna’ alaf baharu

PUNYA aura tersendiri dan rendah diri. Demikian frasa tepat untuk menggambarkan keperibadian aktres Indonesia, Masayu Anastasia yang tidak lokek mengukir senyuman saat bertemu empat mata dengan penulis.

Membintangi deretan filem dan drama fenomena di persada industri hiburan negara seberang itu tidak sedikit pun membuatkan dirinya berasa megah mahupun meninggi diri.

Mengakui sudah dua tahun menyepi daripada membintangi sebarang filem, Masayu tidak menyangka bakal dilamar produksi asal Malaysia iaitu Armani Entertainment Group untuk naskhah seram berjudul Paku Tanah Jawa.

Rentetan itu, wanita jelita yang pertama kali hadir ke Malaysia untuk mempromosikan naskhah berjudul Paku Tanah Jawa itu ramah bercerita pengalamannya ketika penggambaran.

ENGGAN dipandang hanya handal menggalas watak seram Masayu mahu menguasai semua genre lakonan.

Meskipun bukan kali pertama berlakon filem seram, namun aktres berusia 40 tahun itu mengakui Paku Tanah Jawa dan watak Handini sebagai penari dalam filem tersebut memberi pengalaman mistik yang berbeza buatnya.

Kata Masayu, ketika melakonkan babak tarian, dia merasakan dirinya seakan-akan ditindih sesuatu sehingga bahunya berasa sangat berat.

Bagaimanapun, semuanya kembali seperti sedia kala selepas dia menanggalkan baju kebaya merah dan membuka segala aksesori tarian yang dipakai.

“Dalam penggambaran filem ini, saya memang banyak lalui pengalaman mistik. Ketika hari pertama berada di Jogja, sewaktu saya berlatih menari, bahu saya terasa sangat berat seperti ada yang menindih.

Saya juga sesak nafas dan tidak dapat menggerakkan leher ke kiri atau kanan untuk beberapa hari. Seperti ada yang mengawal saya daripada belakang.

“Namun, selepas saya menanggalkan baju kebaya merah dan membuka segala aksesori tarian, rasa tertindih itu hilang, memang pelik tapi itulah keadaan sebenar,” katanya kepada HibGlam.

MEMBAWA watak Handini yang merupakan seorang penyanyi dan penari, Masayu mengakui seakan ditindih sesuatu sehingga bahunya berasa sangat berat ketika melakukan babak tarian.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dirinya bukan seorang yang penakut selain pihak kru produksi mengundang seorang pengamal perubatan Islam sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mujur saya ini berani orangnya dan menguatkan semangat agar tidak terkesan dengan gangguan tersebut.

Saya banyakkan berdoa dan ustaz ada di sana. Saya diberikan air kosong yang sudah dibacakan ayat al-Quran untuk minum agar pulih kembali,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga mengakui berendam bersama tujuh ekor ular di dalam kolam merupakan cabaran besar buat dirinya.

Dia yang dahulunya takut dengan reptilia berbisa itu kini sudah terbiasa selepas menjayakan watak tersebut.

Ketika babak kolam ada tujuh ekor ular di dalamnya dengan paling panjang adalah sekitar tujuh meter, manakala penggambaran itu sekitar pukul 1 pagi.

“Saya beranikan diri berlakon babak itu atas dasar profesionalisme demi menghasilkan naskhah yang baik.

Tipulah kalau saya kata tidak takut tetapi sebagai pelakon, kita perlu lakukan itu semua agar lakonan lebih berkesan dan sampai ke hati penonton, lagipun bila lagi mahu merasai pengalaman sebegini?” tegasnya.

BUKAN mudah menjayakan watak dan naskhah seram, Masayu mengakui banyak pengalaman mistik yang perlu ditempuhi sepanjang penggambaran.

Paling penting kata pelakon kelahiran Jakarta itu, dia akan melakukan apa sahaja babak mengerikan mengikut kemampuannya asalkan dapat memenuhi kehendak sutradara.

Dijolok soalan berbaur usikan mengenai netizen yang melabelkannya pengganti pelakon veteran yang sinonim dengan watak seram iaitu Allahyarhamah Suzzanna, Masayu hanya tersenyum.

Ujarnya, dia belum lagi mencapai tahap seram lakonan arwah, namun menyifatkan segala kata-kata positif netizen itu membuktikan lakonannya dalam filem genre itu berkesan.

Ratu seram memang milik Suzzanna, ramai peminat yang melabelkan saya sebagai pengganti dia tetapi jujurnya saya tidak layak untuk itu.

“Tetapi saya tidak kisah jika dipanggil ratu filem seram kerana pendapat peminat masing-masing. Itu membuktikan lakonan saya berkesan dan orang takut melihat watak tersebut.

“Justeru gelaran itu akan memberikan saya semangat untuk terus berkarya dan memberikan lakonan sehabis baik,” jelasnya.

Paku Tanah Jawa ini merupakan hasil kerjasama dua negara di antara penerbit Malaysia, Armani Entertainment dan pengarah Indonesia, Bambang Drias.

Selain Masayu, naskhah ini turut dibintangi Gisellma Firmansyah, Wafda Saifan Lubis, MK K-Clique dan Hasif Upin. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok