Lapor polis, Hafidz Roshdi cabar Shuhada kemuka bukti

ENGGAN berdiam diri, pelakon Hafidz Roshdi membuat laporan membabitkan perkongsian mengaibkan dilakukan bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Ujar Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 3, dia tidak mampu menahan sabar selepas wanita itu menyebarkan perbualan berunsur lucah yang didakwa daripada mesejnya.

Dia seakan tidak puas hati apabila saya berkongsi dengan media kembali mendapat tawaran berlakon selepas setahun tiada ‘job’.

“Sejak itu dia mula buat macam-macam dakwaan, daripada soal nafkah anak, yuran sekolah, insurans dan terbaharu dia sebarkan pula tangkap layar perbualan mengaibkan kononnya mesej saya dengan seseorang.

Apa yang dia mahu sebenarnya? Susulan itu, atas saranan peguam saya buat laporan polis bagi mengelakkan lebih banyak penyebaran cerita palsu,” katanya kepada HibGlam.

Hafidz turut menyangkal dakwaan Shuhada yang dia mengaku menyalahgunakan rahsia dan bukti mahkamah berkaitan kes sivil serta syariah membabitkan kes yang masih dalam perbicaraan.

“Selama ini saya tidak bersuara tapi dia pula memandai-mandai reka cerita. Kalau betul saya sebarkan dokumen itu, di platform mana yang saya sebarkan?

Bila masa saya sendiri mengaku? Nombor telefon saya pun dia sekat, dengan siapa dia bercakap? Sila kemukakan bukti.

“Saya pelik kenapa tiba-tiba nama saya dipetik, bahkan dengan yakin berkongsi kepada khalayak bahawa saya sendiri mengaku kepadanya,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon filem Pusaka itu turut menuntut Shuhada menunjukkan bukti berkenaan tuduhan ahli keluarganya memburukkan wanita berkenaan.

“Dia kata ahli keluarga saya memburukkannya dalam semua media sosial dengan menghantar mesej langsung kepada pengguna media sosial yang mengenalinya.

Kalau betul ahli keluarga atau ibu bapa saya ada berbuat demikian, minta dia tampil bersama bukti, bukan cakap kosong.

“Saya pun yakin netizen lebih bijak untuk menilai siapa yang lebih banyak berbunyi di laman sosial selama ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Shuhada membuat laporan ke atas bekas suaminya itu di Ibu Pejabat Polis Arau, Perlis, semalam.

Ibu kepada dua anak itu mendedahkan terpaksa mengambil tindakan serius kerana pihak berkaitan menguji kesabaran selain tidak menghormati dirinya.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 tetapi bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.

Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam, pada 15 Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok