GARA-GARA penahanan penyanyi Justin Timberlake akibat memandu dalam keadaan mabuk, lagu bekas kekasihnya Britney Spears yang berjudul Criminal melonjak ke tangga pertama dalam carta iTunes di Mexico dan top 10 di aplikasi sama di Brazil.
Bahkan dendangan yang diterbitkan sekitar 13 tahun lalu itu kembali didengar ramai apabila mengukuhkan kedudukan dengan berada di posisi ke-68 dalam carta iTunes secara keseluruhan.
Lagu daripada album ketujuhnya, Femme Fatal ‘naik’ mendadak hanya beberapa jam selepas berita penahanan Timberlake tersebar pada 19 Jun lalu.
Difahamkan, situasi tersebut merupakan hasil gerakan peminat tegar Spears yang menggunakan laman sosial untuk menggalakkan peminat muzik mendengar dan membeli Criminal di iTunes.
Seni kata dendangan tersebut menceritakan mengenai pengakuan seorang wanita bercinta dengan ‘bad boy’ atau lelaki nakal yang sarat sisi negatif.
Serentak hari penahanan Timberlake, Spears yang sedang bercuti di Las Vegas seakan memerli bekas kekasihnya itu.
Dia berkongsi sebuah hantaran dalam Instagram seolah-olah meraikan perkara menakjubkan dengan menuang minuman koktail.
Pagi Selasa lalu Timberlake ditahan dan didakwa memandu dalam keadaan mabuk selepas gagal mematuhi papan tanda berhenti serta dua kali melencong dari lorongnya di kawasan tepi pantai mewah, Hampton di New York.
Penyanyi pop berusia 43 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sag Harbour namun dibebaskan dan perlu hadir bagi sebutan semula pada 26 Julai depan.
Ketika polis melakukan pemeriksaan, Timberlake dilaporkan tidak dapat memberikan fokus, gagal bertutur dengan jelas dan nafasnya berbau alkohol.
Suami kepada pelakon Jessica Biel itu juga didakwa enggan melakukan ujian nafas bagi mengesan tahap alkohol. – HIBGLAM