Lady Gaga gayakan dres rekaan anak Malaysia, Rizman Ruzaini

DUO pereka fesyen tempatan, Rizman Ruzaini mencipta satu lagi kejayaan apabila dres rekaan mereka digayakan penyanyi pop antarabangsa, Lady Gaga pada persembahan Lady Gaga & Jazz Piano di Park MGM, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Perkara tersebut didedahkan Rizman Ruzaini menerusi hantaran status terbaharu dalam Instagram mereka.

“Lady Gaga menggayakan baju ‘custom’ Rizman Ruzaini menyanyikan lagu Americano pada persembahan Las Vegas Residency,” coretnya.

Berona merah chiffon dan bermandikan kristal Swarovski, ramai dalam kalangan netizen yang memuji penampilan Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta umpamanya ‘menutup aurat’.

“Kalau Lady Gaga pakai inner, pakai tudung terus nampak macam muslimah. Dres yang cantik, tak seksi.

“Cantik dia menutup aurat. Selalunya hanya berseluar dalam ketika melakukan persembahan,” demikian antara komen yang netizen dalam media sosial.

Dres rekaan anak tempatan, Rizman Ruzaini yang digayakan diva pop antarabangsa, Lady Gaga. — LA MAISON GAGA.

Selain menyanyikan lagu Americano yang dipetik daripada album Born This Way, Gaga turut menggayakan baju Rizman Ruzaini ketika mendendangkan lagu hit nombor satunya, Paparazzi dari diskografi The Fame.

Sebelum ini, pereka fesyen kebanggaan Malaysia itu menjalin kolaborasi dengan supermodel Naomi Campbell di Minggu Fesyen Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober tahun lalu.

Dalam satu wawancara audio siar, mereka melabur RM3 juta untuk mendapatkan khidmat model antarabangsa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok