HAMPIR setahun memegang status sebagai isteri, penyanyi Nabila Razali mengakui banyak pengorbanan perlu dilakukan termasuk memperlahankan karier seni demi menjalankan tanggungjawab terhadap rumah tangga.
Pun begitu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, berkata, perkara tersebut tidak boleh dibandingkan dengan orang lain kerana dia percaya pengorbanan setiap individu itu berbeza.
“Bila sudah berkahwin sudah pasti banyak pengorbanan yang saya lakukan. Bukan selepas saya kahwin sahaja, sebelum ini juga banyak.
“Banyak jenis pengorbanan yang saya lalui tetapi tidak boleh dibandingkan dengan orang di luar sana kerana saya percaya pengorbanan setiap individu itu berbeza.
“Saya banyak mengorbankan masa bersama keluarga kerana komitmen kerja. Apabila sudah berkahwin lain pula, saya korbankan masa bekerja untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya kepada HibGlam.
Memahami erti berkorban, pelantun lagu Pematah Hati itu berkata, erti pengorbanan sebenar adalah apabila seseorang itu sanggup melepaskan perkara paling berharga dalam hidup mereka untuk orang lain.
“Maksud pengorbanan untuk saya adalah apabila kita mengorbankan sesuatu untuk orang lain dan bukannya bagi diri sendiri.
“Kadangkala kita berkorban untuk dapatkan sesuatu yang lebih baik tetapi pengorbanan bagi saya adalah apabila kita melepaskan sesuatu demi kebahagiaan orang lain,” ujarnya lagi.
Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani, 38, pada 18 November 2023. – HIBGLAM.