Kita aminkan cakap kahwinkan anak di Thailand – Ibu Aliff Aziz

HANYA berlapang dada, ibu kepada penyanyi Aliff Aziz, Siti Hafiza mengakui sebagai hamba Allah dia tidak mampu menolak andai ditakdirkan jodoh anaknya dengan pelakon Ruhainies.

Siti Hafiza atau nama sebenarnya Siti Hafiza Basharahil berkata, urusan jodoh serta aturan kehidupan insan adalah atas perancangan Tuhan.

Ada yang cakap kita nak kahwinkan anak di selatan Thailand. Apa-apa pun kita aminkan jika itu yang terbaik.

“Bukankah jodoh, pertemuan, ajal, maut, perkahwinan dan perceraian itu semua Allah yang tentukan,” katanya dalam Instagram.

Menerusi hantaran sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut meluahkan perasaan berkaitan kesejahteraan anaknya.

“Kalau dah jodoh. Saya tahu ramai mendoakannya,” tambahnya.

Hantaran tersebut dibuat susulan nitezen mendakwa Siti Hafiza mahu mengahwinkan Aliff dengan Ruhainies.

Sebelum itu Siti Hafiza terkilan berdepan tohmahan kononnya ada perancangan mengahwinkan Aliff dan heroinnya dalam drama rantaian Terjerat itu di luar negara.

Sekali gus, dia yang turut memaparkan tangkap layar gosip tersebut menyangkal desas-desus yang disifatkan sebagai fitnah.

Malah, wanita asal Singapura itu turut meminta mana-mana pihak agar berhenti mereka-reka cerita tidak benar.

Biarpun terkilan, Siti Hafiza terbuka untuk memaafkan individu yang menyebarkan spekulasi liar tersebut.

“Saya pun tertanya-tanya juga siapa yang temu bual saya?

Cukup-cukuplah, saya maafkan semua yang berjuang keluarkan cerita-cerita sebegini,” ujarnya.

Terdahulu, kontroversi antara Aliff dan Ruhainies tercetus selepas mereka ditahan atas kes khalwat pada 9 Mac lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Susulan kes tersebut, rumah tangga penyanyi lagu Sayang Sayang itu dengan Bella Astillah semakin bergelora sehingga akhirnya mereka bercerai pada 13 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok