PENYANYI Khai Bahar menafikan dakwaan dia kerap menghadiri parti liar dan berhibur di pusat hiburan atau kelab malam sejak berkawan rapat dengan seorang usahawan selebriti.
Tampil mempertahankan diri, Khai atau nama penuhnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, menjelaskan, dia pernah hadir ke pusat hiburan namun bukannya untuk menyertai parti liar seperti yang didakwa.
“Sejak emak jatuh sakit iaitu awal tahun 2022, saya sudah kurang jumpa kawan-kawan atau lepak dengan mereka.
“Kalau lepak dengan kawan-kawan pun, kami pergi karaoke.
“Mungkin orang salah anggap dan menyangka saya berparti disebabkan suasana pusat karaoke itu sendiri yang agak suram apabila lampu ditutup,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran single baharu berjudul Bawa Hatiku Bersama Kamu di sini, semalam.
Ditanya sama ada hatinya tergores dengan fitnah yang kerap dilemparkan, pelantun lagu Bayang itu enggan melayan segala tohmahan yang mengganggu fikirannya.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya baik dan berkawan sahaja dengan semua orang tanpa ambil peduli hal peribadi mereka.
“Ikut suka nak cakap apa pun, asalkan orang yang buat fitnah itu puas hati. Kalau sudah penat, mereka pasti akan berhenti. Kalau hendak lawan balik pun tiada faedah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia bersyukur dan bertuah kerana mempunyai peminat setia dikenali sebagai Khai Bahar Empire yang sentiasa menyokong serta mempercayai dirinya sehingga hari ini.
“Peminat saya sangat hebat, mereka memahami dan tidak pernah berhenti memberi sokongan, tidak kiralah untuk kerjaya seni atau kehidupan peribadi.
“Kemudian, sangat bertuah kerana memiliki ahli keluarga yang sangat kenal siapa saya dan tidak pernah mempersoalkan apa-apa meskipun kerap dihujani dengan dakwaan tidak berasas.
“Jadi, kepada yang kerap sebar dakwaan, teruskan menyiasat kehidupan saya sebab tiada apa-apa yang disorokkan pun,” jelasnya. – HIBGLAM