Peka dengan kes kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan makanan, cef selebriti Anis Nabilah menasihatkan penyedia makanan agar menjalani kursus pengendalian makanan.
Selain itu, Anis atau nama lengkapnya Anis Nabilah Umarruddin, 38, tidak menolak kebarangkalian penyebab utama yang mengakibatkan kanak-kanak terbabit maut akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah Sabtu lalu.
Mengenai kes keracunan makan telur baru-baru ini, pertama sekali setiap pengendali makanan harus mengikuti kursus menjaga keselamatan dalam penyediaan dan pengendalian makanan.
“Perkara ini penting kerana keracunan boleh sahaja berlaku. Saya pun tidak tahu apa jadi dan mereka tidak perincikan penyebab dari salmonella atau apa.
“Salmonella pula banyak sebab terjadi antaranya telur tidak cukup masak. Ini mungkin berlaku kontaminasi (pencemaran),” katanya selepas pelancaran cawangan baharu Illy Caffe di Hartamas Shopping Centre semalam.
Dalam masa sama, dia turut memaklumkan tentang penjagaan telur yang seharusnya disimpan dalam peti sejuk untuk mengelak sebarang kemungkinan.
“Ramai salah faham dan dalam media sosial pun pempengaruh ajar cara basuh telur. Cuci guna air dan kemudian mereka simpan dalam peti sejuk itu salah ya.
“Kulit telur berpori. Apabila cuci, akan ada zarah kecil yang memasuki telur sehingga menyebabkan tercemar,” jelasnya lagi.
Pun begitu, pengacara Eat Clean With Anis itu juga menyenaraikan lagi beberapa punca yang barangkali menjadi antara implikasi kes maut tersebut.
“Yang kedua apabila pegang telur yang tidak dibersihkan seperti ada najis, kemudian kita pegang macam-macam benda pun boleh tercemar.
“Lagi satu di sesetengah negara memang akan sentiasa masak telur dengan sempurna supaya semua bakteria terhapus dan elak tercemar.
“Malah, cuaca di negara kita pula panas. Saya nasihatkan untuk simpan telur dalam peti sejuk dan cuci sebelum masak,” tuturnya.
Baru-baru ini, kanak-kanak berusia dua tahun dan seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah sekolah agama daerah Gombak.
Hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mendapati, seramai 82 orang atau 33 peratus mengalami gejala dengan dua kematian daripada 247 orang yang terdedah selepas makan bihun telur mata sarapan pagi yang didapati sudah berubah rupa dan rasa. – HIBGLAM