KEMENTERIAN Komunikasi akan terus komited membantu penggiat seni veteran termasuk pemuzik, Ross Ariffin yang menerima sumbangan berupa sebuah keyboard di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah di sini, semalam.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sumbangan kepada Ross, 62, merupakan antara usaha pihaknya menghargai segala jasa sekali gus meringankan beban penggiat seni veteran lain.
Ada beberapa usaha lain yang kami tengah lakukan. Alhamdulillah kami sudah sediakan sebuah keyboard untuk Ross Ariffin yang sebelum ini banyak menghasilkan lagu-lagu hebat.
Memang kita kaji keperluan Ross selain usaha dan kumpul sedikit sumbangan serta dana untuk kita uruskan (pembelian keyboard).
Saya nampak kalau bandingkan dengan kali terakhir bertemunya, sekarang dia sangat bertenaga dan bersemangat. Itu yang kita harap terus dapat membakar semangatnya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Fahmi, dia juga akan terus meneliti setiap jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada mana-mana penggiat seni yang memerlukan.
“Selepas ini kita akan teliti apa lagi kita boleh bantu dan saya tegaskan kami cuba bantu bukan secara ‘one off’ tapi berterusan.
Ini komitmen saya sebagai Menteri Komunikasi dan akan terus bantu terutama artis veteran dalam bidang muzik.
“Saya ingin lihat peluang ini cuba dipanjangkan kepada lebih ramai anak seni,” jelasnya.
Ujarnya, usaha tersebut bagi memastikan golongan artis veteran tidak dipinggirkan dan akan terus dikenang meskipun sudah tiada.
“Kita tak nak artis veteran diingati sewaktu zaman keemasan sahaja. Kita kenang dan terus bantu mereka.
Kita perlu ada pangkalan data yang lebih lengkap. Saya sebelum ini ada bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk pihak karyawan untuk menyantuni barisan artis veteran.
“Dipanjangkan juga kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Finas bagi mereka yang terbabit dalam bidang perfileman. Kita nak pastikan isu kebajikan itu menjadi keutamaan.
Sebab itu kami bawa Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman untuk pastikan Ross mempunyai peluang. Saya bagi cadangan tadi untuk memanfaatkan juga platform media sosial,” jelasnya.
Dalam masa sama, Fahmi turut menyambut baik hasrat Ross mengadakan kelas muzik untuk generasi muda.
Dia juga berhasrat untuk memberi kelas muzik kepada anak-anak di PPR ini. Saya lihat ini satu perkara yang positif dan harap dapat merapatkan hubungannya dengan komuniti setempat,” tuturnya.
Terdahulu, Ross akhirnya keluar daripada status gelandangan apabila menerima kediaman projek perumahan rakyat PPR Kampung Muhibbah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Februari lalu.
Ross yang pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan juga aktif sebagai pemuzik undangan adalah komposer yang mencipta lagu penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff.
Antara lagu popular ciptaan Ross ialah Dia, Kemaafan Dendam Yang Teindah serta Kau dan Aku nyanyian Ning Baizura yang memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada 1995. – HIBGLAM