Jerat diboikot, ibu Aliff Aziz pertikai tindakan netizen

IBU kepada pelakon Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza Basharahil sekali lagi mengundang perhatian apabila mempertikai tindakan netizen yang mahu memboikot drama Terjerat lakonan anaknya bersama Ruhainies.

Menurutnya yang mesra disapa Fiza, drama tersebut tidak sepatutnya menjadi mangsa boikot orang ramai hanya kerana kontroversi yang melanda anaknya dan Ruhainies.

Saya jarang menonton drama Melayu. Namun, selepas menonton drama ini, adakah layak untuk diboikot?

“Tepuk dada tanya hati, insya-Allah,” katanya dalam Instagram.

Dalam perkongsian sama, dia turut meletakkan tanda pagar #avoidcancelculture seperti memberi bayangan meminta khalayak tidak meneruskan boikot terhadap drama arahan Azmi Hatta itu.

Terdahulu, nama Fiza kerap menjadi bahan bualan ramai apabila dikatakan lantang bersuara dalam media sosial mengenai Aliff.

Sebelum ini, Aliff pernah mengakui dalam temu bual sebuah podcast bahawa drama Terjerat terbitan Iqiyi merupakan titik bermulanya hubungan rapat dengan Ruhainies.

Imbas semula, nama Ruhainies dan Aliff meledak selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.

Mereka bagaimanapun pada 20 Jun lalu dilaporkan hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM1,500 setiap seorang.

Terdahulu, isteri Aliff, Bella Astillah nekad memfailkan cerai sebelum mereka disahkan berpisah talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok