‘Jangan nafi kalau anak ada simptom autism, lakukan pemeriksaan’

PENYANYI Shila Amzah menasihati ibu bapa agar berlapang dada dan tidak hidup dalam penafian sekiranya anak mereka ada simptom austism.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah mengakui menerima banyak soalan berkaitan perkara tersebut dan meminta ibu bapa tidak merahsiakan apa-apa daripada doktor.

“Kalau ada soalan lain, saya sarankan anda untuk terus berjumpa dengan doktor kanak-kanak di hospital swasta atau kerajaan termasuk klinik kesihatan.

Apabila doktor tanya, ibu bapa kena beri jawapan jujur tentang simptom dan ciri-ciri autism yang anak anda ada supaya mereka boleh buat pemeriksaan.

“Kalau ibu bapa yang sudah nampak ciri-ciri autism, boleh cari maklumat lanjut di internet. Daripada situ anda boleh tahu dan jangan menafikannya,” katanya dalam Instagram semalam.

Pelantun lagu Patah Seribu itu turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang diberikan orang ramai terhadap keluarganya.

Saya mungkin kelihatan tenang tapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu.

“Ini tanggungjawab saya dan suami, Ubai sebagai ibu bapa. Kami berdua perlu menjadi kuat untuk anak-anak,” jelasnya.

Beberapa hari lalu, Shila mengesahkan anak lelakinya, Seth Uwais sebagai kanak-kanak austism selepas menjalani beberapa pemeriksaan.

Untuk rekod, Shila dan suami, Ubai MZ telah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata pertama iaitu Rhea Akira pada 9 Mei lalu.

Terdahulu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias namun bercerai pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun bersama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok