Jangan hukum ‘Terjerat’ kerana kontroversi Ruhainies, Aliff – Azmi Hatta

SUTRADARA Azmi Hatta meminta orang ramai tidak menjadikan drama arahannya, Terjerat sebagai medium untuk melepaskan kemarahan.

Katanya perkara itu diharapkan tidak berlaku memandangkan pelakon utama naskhah tersebut Aliff Aziz dan Ruhainies.

“Harap penonton tidak skeptikal atau menjatuhkan hukuman tentang Terjerat hanya kerana kontroversi tercetus antara Ruhainies dan Aliff Aziz.

Ini kerana Terjerat bukan hanya berkisar tentang percintaan yang terlarang, tetapi memaparkan pelbagai konflik yang matang,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi menegaskan gandingan Alif, Ruhainies dan Fendy Bakry menerusi drama itu menepati kehendaknya.

Malah, dia turut menyifatkan Ruhainies sebagai pelakon yang fleksibal ketika bergandingan dengan dua pelakon lelaki itu.

“Mengikut pengalaman, saya pernah bekerjasama dengan ketiga-tiga pelakon hebat ini. Saya tahu  kemampuan mereka dan  yakin dengan bakat lakonan mereka.

“Ruhainies sangat fleksibel apabila digandingkan dengan Alif dan Fendy. Selain itu, Alif dan Fendy juga banyak membantu antara satu sama lain sekali gus menepati kehendak saya bagi keperluan setiap babak drama ini,” ujarnya.

Selain Alif, Ruhainies dan Fendy, Terjerat yang turut dibintangi Jaja Iliyes itu akan ditayangkan di platform penstriman iQIYI bermula Jumaat ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok