‘Jangan hentam Ustaz Don macam dia tidak pernah buat baik’

“Hanya Ustaz Don sahaja yang boleh jernihkan keadaan.”

Itu respons pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias berhubung isu Ustaz Don Daniyal yang kini direhatkan daripada terlibat dengan program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi penyebaran hadis tidak bersumber.

Menurut Ustaz Kazim, tindakan merehatkan Ustaz Don daripada muncul dalam program televisyen disifatkan sebagai satu kerugian besar kerana mempunyai kelebihan untuk menarik minat banyak pihak terutama golongan muda untuk lebih mendekati agama.

“Ustaz Don merupakan anak murid saya sebelum dia ke Al-Azhar. Dia merupakan seorang pendakwah yang mempunyai cara penyampaian yang mudah difahami.

“Bagi saya, satu kerugian besar kalau Ustaz Don tak boleh bercakap menerusi platform media utama. Kalau setakat dalam media sosial, boleh bercakap tetapi orang tetap melihat pada media utama seperti rancangan televisyen, radio dan sebagainya.

“Mungkin perlu ada penjernihan yang perlu dilakukan Ustaz Don,” katanya kepada HibGlam selepas tayangan gala filem Zim Zim Ala Kazim di sini, semalam.

Memandang dari sudut positif, dia berpendapat perkara yang menimpa Ustaz Don sebagai asam garam dalam dunia dakwah yang juga pernah dilaluinya sebelum ini.

“Saya juga pernah kena gam tetapi saya hormat keputusan tersebut dan harus perbetulkan semula kesilapan saya.

“Saya percaya, bila kita buat yang terbaik, saluran seperti tv dan radio akan panggil kita balik. Begitu juga dengan masyarakat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut berharap agar masyarakat tidak terus menghukum Ustaz Don dan memberi peluang kepada beliau untuk memperbaiki keadaan.

“Dalam isu ini, kita kena ada kelapangan hati. Kepada masyarakat pula, jangan terus menghentam seolah-olah dia tidak pernah berbuat baik.

“Apa salah Ustaz Don sampai nak kena maki hamun. Kalau betul salah, kita berjumpa dan nasihat dengan baik.

“Bagi saya, inilah asam garam dalam dunia dakwah,” ujarnya yang turut dijemput untuk terlibat dalam dua episod Salam Baitullah.

Dia yang mengakui tidak menghubungi Ustaz Don berhubung isu yang berlaku bagaimanapun yakin pendakwah itu mampu menghadapi dugaan ini berlapang dada.

“Saya tak hubungi dia cuma dia ada mesej saya perjalanan program Salam Baitullah. Saya pun tak nak balas atau serabutkan fikiran dia.

“Saya tak nak tambah tekanan dia lagi. Saya tahu, Ustaz Don merupakan seorang yang berfikiran terbuka. Andai kata direhatkan, dia akan terima.

“Dia bukan jenis melawan. Jadi, tak perlu saya nasibat sebab dia tahu apa yang perlu dibuat,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ustaz Don dilapor direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti sebuah stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok