PELAKON Datin Intan Najuwa menyelar kenyataan dan fahaman beberapa pihak yang menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak penting bahkan tidak menjamin masa depan.
Ujar Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, ilmu mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih baik kerana hidup bukan soal mencari duit semata-mata.
“Kalian tolong faham yang SPM sangat penting, pendidikan sangat penting. Jangan cuba untuk jadikan pelajaran tak penting hanya kerana awak boleh buat duit dengan cara lain pada zaman ini. Itu bukan masalahnya.
“Pendidikan membentuk kita menjadi individu yang lebih baik. Kita tak akan tahu apa akan terjadi pada masa hadapan.
“Dengan adanya pelajaran dan ‘backup plan’ pasti akan sangat membantu di masa depan,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram Story.
Bimbang remaja masa kini terus disogok fahaman salah, pelakon drama Pink Smile itu menitipkan pesanan agar sentiasa rajin mencari ilmu agar mampu menjadi teladan baik kepada generasi seterusnya.
“Sentiasalah ingat, teruskan mencari ilmu walau apa sekalipun.
“Apa yang kita belajar akan kekal dengan kita sepanjang hidup dan akan memberi contoh yang baik kepada kanak-kanak dan generasi akan datang,” tegasnya.
Semakan HibGlam mendapati rata-rata netizen senada dengan Intan dan berpendapat ramai remaja sebenarnya kemaruk menjadi pensohor media sosial kerana terpengaruh dengan pempengaruh yang kononnya berjaya tanpa pelajaran.
“Ramai budak tengok pempengaruh cakap mampu berjaya walau tiada SPM, itu yang pakat semua abaikan pelajaran, teruk betul,” komen netizen itu.
“Bagus Intan sekolahkan budak-budak ini, ramai sebenarnya sudah terpengaruh dengan fahaman dan anasir yang salah,” demikian komen netizen itu.
Sebelum ini, meledak isu berkaitan segelintir remaja yang berhasrat menjadikan gelaran pencipta kandungan atau pempengaruh media sosial sebagai kerjaya sehingga mengabaikan pelajaran.
Intan antara selebriti yang tidak pernah meminggirkan pendidikan. Dia kini masih lagi dalam pengajian peringkat asasi dalam jurusan undang-undang di Kolej BAC, Singapura dan dijangka habis pada tahun 2025 – HIBGLAM.