HAMPA permintaan tidak diendahkan, penyanyi Naufal Azrin memberikan tempoh dua minggu kepada syarikat pengurusan lamanya untuk melangsaikan segala bayaran yang masih tertunggak.
Enggan lagi berkompromi, Naufal atau nama sebenarnya Ahmad Naufal Azrin, 26, berkata, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya pihak terbabit tetap berdegil.
“Kepada label lama, saya tidak suka buat benda ini sebenarnya tapi tiada pilihan kerana kalian tidak respons langsung panggilan saya.
Saya bagi masa dua minggu untuk kita jumpa dan selesaikan perkara ini. Kalau tidak saya akan cari cara lain. Paling tidak awak ditangkap sebab rembat duit orang. Saya guna kaedah media sosial agar ada orang boleh bantu.
“Saya bukan jenis banyak cakap. Saya lebih suka gunakan kekerasan kalau dah susah sangat tapi jika buat macam itu, saya juga yang kena nanti,” katanya menerusi Instagram Story.
Tidak mahu lagi berlembut, pelantun lagu Casablanca itu tetap akan menuntut haknya sebagai artis dan enggan menerima sebarang alasan wang miliknya tidak dibayar.
“Saya tak kisah kalau orang lain yang kena (tipu) tidak mahu ambil atau peduli tentang duit mereka tetapi saya peduli.
“Jangan bagi alasan keluarga susah atau sakit sebab cara itu sudah tidak berfungsi dalam akal saya.
“Saya nampak awak tak pernah kena hukuman apa-apa dan sebab itu awak masih berani buat benda bodoh ini,” tegasnya lagi.
Ini bukan kali pertama Naufal meminta pihak tersebut melunaskan hutang malah pernah meluahkan perkara sama beberapa bulan lalu.
Difahamkan, syarikat yang menguruskan beberapa artis muda itu sudah gulung tikar dan tidak lagi beroperasi. – HIBGLAM