Hidup pada usia subsidi, catatan akhir Pyan Habib

27 Mei (1958). Genap usia saya 66 tahun. Cucu minta potong kek, saya pun potong kek. Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah. Allahu!”

Demikian catatan terakhir yang ditulis penyair dan pelakon popular, Allahyarham Pyan Habib dalam akaun Facebook sempena ulang tahun kelahirannya ke-66 pada 27 Mei lalu.

Sayangnya, tiada yang mampu meneka bahawa perkongsian tersebut merupakan status terakhir arwah sebelum disahkan meninggal dunia di kediamannya di Hulu Klang pada pukul 9.30 malam semalam.

Menerusi perkongsian sama, arwah turut memuat naik fotonya bersama isteri dan dua cucu mereka sambil memotong kek hari jadi.

TANGKAP layar hantaran Facebook terakhir Pyanhabib pada ulang tahun kelahirannya ke-66 baru-baru ini.

Terdahulu, isterinya memaklumkan khabar duka mengenai pemergian seniman yang disayangi ramai itu dalam Facebook.

Pyan Habib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman yang berasal dari Taiping, Perak aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Sebagai pelakon, Pyan Habib cukup dikenali dengan watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan lakonannya bersama Datuk M Nasir yang diarahkan Nasir Jani sekitar 1986.

Allahyarham juga pernah membintangi beberapa filem lain seperti Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Allahyarham juga popular dengan seleksi puisinya dan antara hasil penulisannya yang terkenal ialah Balada Pyanhabib. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok