SENTIASA meletakkan peminat di tempat tersendiri, kumpulan sensasi Dolla tampil bersama bingkisan baharu berjudul Here4U yang didedikasikan khas buat penyokong tegar, iDOLLAs.
Umpama sebuah nukilan hati, lagu ciptaan anggota Dolla sendiri, Tabby tersebut disifatkan sebagai surat terbuka untuk peminat dalam bentuk dendangan.
“Semuanya bermula daripada petikan muzik instrumental indah yang anda dengar dalam lagu itu.
Komposer lagu ini, Hyuk Shin beri saya peluang untuk sama-sama menulis lagu dan menghasilkan melodi.
“Dia dan seorang lagi komposer, Chris Young, membimbing saya dengan baik sepanjang proses tersebut.
Memikirkan konsert Dolla yang akan datang, kami rasa ini waktu tepat untuk menghasilkan lagu khusus buat peminat kami,” ujar Tabby membuka bicara.
Selain Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam, 20, grup yang mendapat jolokan Blackpink Malaysia itu turut dibarisi Angel dan Sabronzo.
Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu lagi, selepas mencipta melodi di studio, dia yang pulang ke rumah mendapat inspirasi sehingga tercetusnya idea.
Here4U adalah mengenai kesungguhan iDollas, yang selama ini sentiasa berada di belakang kami selaku pendorong utama.
“Kami ingin mereka tahu bahawa lagu itu adalah satu penghormatan terhadap sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Seperti beberapa lkarya hit mereka sebelum ini, lagu ini didatangkan dalam dua versi iaitu bahasa Malaysia yang ditulis Putri Dahlia, Tabby dan Hyuk Shin, manakala versi bahasa Inggeris pula dihasilkan Tabby bersama Hyuk Shin.
Sementara itu, Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 29, pula mendedahkan pengalaman sepanjang fasa menyempurnakan lagu ini sangat menyenangkan.
“Setiap detik kami lalui sangat bermakna apatah lagi penulis lagu merupakan teman baik kami sendiri.
Visi untuk Here4U diterjemahkan dengan baik membuatkan kami teruja menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan semua orang secara peribadi,” kongsinya.
Sebagai pelengkap, sebuah video yang menceritakan perjalanan mereka dari awal kemunculan dalam arena hiburan sekitar 2019 turut dihasilkan.
“Gambaran visual tentang apa yang telah kami lalui untuk berada di tahap sekarang juga suatu karya bermakna dan menyentuh hati.
Istimewanya video tersebut dihasilkan dengan gabungan aneka klip rakaman yang kami ambil menggunakan telefon bimbit masing-masing,” dedahnya.
Rancak membuat persediaan konsert Dolla Re:Birth The Experience pada 3 Ogos depan, Dolla juga berharap dapat diperdengarkan di Zepp KL nanti khas buat khalayak.
Selain itu, kami juga sedang menghasilkan muzik baharu dan juga menyusun hala tuju sebagai sebuah kumpulan yang ingin bergerak ke hadapan.
“Kami berharap peminat menyukai lagu ini kerana kami banyak berfikir untuk menyiapkannya, semoga peminat dapat menghayati dan memahami pesanan dalam lagu ini,” kata Angel pula. – HIBGLAM