Hebat! G-Dragon kini profesor KAIST

TERUS  mendakap tuah, penyanyi G-Dragon dilantik sebagai profesor jemputan di fakulti Kejuruteraan Mekanikal Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST) bermula 4 Jun lalu.

Menurut sebuah laporan, pelantikan idola berusia 36 tahun itu adalah usaha mengintegrasikan teknologi serta meningkatkan daya saing global pelajar menerusi seni dan budaya.

Ketua kumpulan BigBang itu difahamkan bakal mengajar subjek berkaitan kepimpinan selain berkongsi pengalaman sebagai penghibur dalam kuliahnya.

Tidak hanya itu, dia juga akan melibatkan diri dalam pelbagai program berkaitan seni dan kebudayaan di KAIST.

Menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan buat dirinya, G-Dragon berharap pengalaman sebagai penghibur akan memberi manfaat kepada pelajar dan membawa perubahan dalam melahirkan pelajar berkualiti.

Ini merupakan satu penghormatan bagi saya apabila dilantik sebagai profesor jemputan di KAIST yang sudah melahirkan ramai pelajar bijak.

“Saya mengharapkan gabungan sinergi hebat di antara teknologi dan latar belakang hiburan yang dimiliki saya akan membawa kejayaan sama seperti Big Bang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pelantun lagu Crooked itu juga turut dilantik sebagai duta global KAIST dalam usaha mempromosikan institut berkenaan di peringkat global. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok