LANTANG menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin, penyanyi Datuk Hatttan menasihati orang ramai agar tidak menghadiri konsert penyanyi antarabangsa pro-Israel.
Kata Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Shahabudin, 60, perbuatan itu secara tidak langsung mencerminkan masyarakat Malaysia tidak bersimpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.
“Jika hendak menonton konsert buatlah pilihan yang betul kerana ada ramai artis antarabangsa yang pro-Zionis.
Jangan kita pergi tengok konsert penyanyi sebegitu. Sekiranya pergi jelas menunjukkan bahawa kita tidak bersimpati dengan keadaan rakyat Palestin yang menderita akibat perbuatan tentera Zionis,” katanya menerusi satu video dalam Instagram.
Penyanyi lagu Mahligai Syahdu itu turut menggalakkan peminat memberi sokongan terhadap konsert artis tempatan berbanding menghadiri persembahan penyanyi luar negara pro-Israel.
Kita kena bersatu hati dan jangan pergi ke konsert artis sebegitu. Ada banyak lagi konsert artis negara kita yang boleh ditonton.
“Jangan mempedulikan penyanyi luar atau memberi peluang kepada penyokong Israel sebegini untuk membuat konsert di sini,” jelasnya.
Sebelum ini penganjur konsert penyanyi Bruno Mars, Live Nation Malaysia dikecam dalam Instagram selepas memuat naik hantaran mengenai penganjuran konsert artis itu di Kuala Lumpur.
Hal tersebut berlaku susulan Mars yang sebelum ini pernah menyuarakan sokongan terhadap Israel ketika mengadakan konsert di negara haram itu beberapa tahun lalu.
Konsert itu dijangkakan bakal berlangsung pada 17 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil. – HIBGLAM