Hanya Bella Hanna boleh tawan saya – Redza Rosli

BERMULA hanya sebagai rakan biasa dan regu lakon, kini sudah sah menjadi teman sekatil hidup sebumbung. 

Kedengaran agak klise, namun bagi pelakon Redza Rosli dan suri hatinya, Bella Hanna atau Farhana Nabila Rosman, aturan tersebut terlalu indah buat mereka. 

Sah disatukan pada Jumaat lalu dengan sekali lafaz, pemilik nama sebenar Ahmad Redza Rosli kini selamat bergelar suami kepada si jelita, Bella Hanna yang juga seorang pelakon.

Benarlah kata pujangga, jodoh bukan tentang siapa cepat dia dapat, melainkan hidupnya dengan kematangan hati budi diri sehingga tibanya jodoh yang tepat. 

Tidak keterlaluan andai dikatakan perasaan bagai di awan-awangan tatkala mendengar setiap ungkapan demi ungkapan tidak kiralah daripada Redza mahupun Bella ketika menggambarkan perasaan masing-masing saat sudah memasuki satu fasa baharu kehidupan.

Pengantin baharu itu menyifatkan setiap daripada mereka berdua sebagai individu yang bertanggungjawab dan menentukan hala tuju dalam membina rumah tangga dengan saling melengkapi.

Barangkali, sifat kebersamaan dan saling melengkapi itulah yang menjadi layar untuk mereka mengemudi bahtera rumah tangga yang sudah terbina atas ikatan cinta sama suka.

“Saya ini seorang yang sukar untuk dikawal tetapi dengan dia, dia sahaja boleh melayan kerenah dan menerima segala kekurangan saya,” ujar Redza.

“Redza ‘family man’, dia akan utamakan keluarga dahulu dalam apa jua keadaan, sebab itu saya jatuh cinta dengan dia, nampak matang dan boleh jadi pembimbing saya yang baik,” demikian luahan Bella pula.

Bukan berahsia

Ditanya, bilakah detik sebenar ikatan cinta mula bersemi, lelaki bertubuh kekar itu menjelaskan, dia dan isteri tidak pernah menjalinkan cinta secara rasmi sebelum bergelar suami isteri.

Kata Redza, hatinya tiba-tiba tergerak untuk melamar Bella  ketika mereka keluar makan hanya pada bulan lalu, selain terus ke kedai emas membeli cincin, sebelum masing-masing meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hati.

“Kami sudah lama kenal, cuma sekadar kawan biasa. Kami pun tak pernah isytihar bercinta. Satu hari saya ajak dia pergi makan tapi waktu itu niat saya sudah lain.

Saya terus ajak dia pergi beli cincin dan pada waktu itulah kami meluahkan perasaan antara satu sama lain.  Kami tidak bertunang, terus nikah.

“Insya-Allah saya yakin Farhana Nabila (Bella) terbaik untuk saya,” katanya kepada HibGlam usai akad nikah di Forest Valley, Cheras, Jumaat lalu. 

Bijak menyorok hubungan istimewa mereka, pelakon berusia 33 tahun itu berkata, dia sebenarnya tidak gemar berdua-duaan dengan Bella. 

Sebaliknya jika keluar bersama dia akan memastikan melaporkan semua gerak geri mereka kepada bapa Bella.

“Saya tidak suka temu janji berdua-duaan, selalunya saya terus ke rumah mak ayah dia minta izin.

 Walaupun ajak pergi makan berdekatan kawasan rumah pun saya akan minta izin dan restu. Saya sendiri akan update ayah dia ke mana kami pergi setiap masa.

“Lagi pun kalau siapa yang mengenali saya, saya memang bukan jenis suka kongsi perkara melibatkan privasi, bagi saya biarlah yang tahu sahaja tahu,” tuturnya tersenyum.

Bulan madu, anak

Diusik tentang bulan madu dan perancangan keluarga, pelakon berkulit hitam manis itu berpasak teguh pada rezeki Allah, manakala Bella pula berlapang dada menerima dan mengikut sahaja ketentuan Yang Maha Esa.

“Buat masa sekarang memang tiada perancangan lagi sebab saya sibuk dengan kerja tetapi kalau boleh saya mahu bawa dia pergi buat umrah terlebih dahulu.

“Bukan apa, kita kena berterima kasih kepada Allah terlebih dahulu kerana memudahkan segala perancangan sehingga kami akhirnya disatukan.

Macam isteri saya dia suka pergi ke tempat yang berpantai, kita tengok macam mana nanti, insya-Allah moga semuanya dipermudahkan.

Ditanya adakah akan meletakkan batas dan syarat dalam karier selepas menggalas status suami, Redza mengakui akan lebih berhati-hati dan mengelak babak yang mungkin bakal mencetuskan kata-kata tidak enak.

“Dalam dunia lakonan, bagi saya kita yang buat skrip, bukan skrip buat kita. Maksudnya kita ada hak kawal semua itu, mana tidak bersesuaian, kita elakkan.

“Lagi pun saya rasa, regu lakon dan sutradara mesti memahami semua itu, asalkan kita bincang elok-elok.

“Isteri saya pun pelakon, dia sangat faham dengan semua itu, tetapi pada akhirnya saya dan dia kena tahu batas dan sedar diri status masing-masing,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok