“ADA apa dengan cinta, perbedaan aku dan engkau, biar menjadi bait dalam puisi terindah.”
Lebih dua dekad lalu filem Ada Apa Dengan Cinta telah menghipnosis jutaan remaja dengan kisah cinta Rangga dengan sang buah hati, Cinta.
Romansa dua remaja itu berbekas dalam hati penonton sehingga membuatkan setiap runut bunyi filem yang ditayangkan pada 2002 berkenaan meninggalkan dampak luar biasa sehingga ke hari ini.
Biarpun nyata sudah jutaan purnama berlalu, namun peminat tetap setia mencintai pelantun lagu Ada Apa Dengan Cinta, Melly Goeslaw.
Bukan sekadar alunan melodi yang menggamit halwa telinga, tetapi bait kata dalam setiap lagu dihasilkan mampu menyentuh jiwa.
Justeru tidak hairan jika 9,000 ‘pemuja’ Melly membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan persembahan wanita yang berasal dari Bandung, Indonesia itu.
Hampir 30 lagu dipersembahkan, Melly berjaya membuktikan tangga usia 50 tahun bukan penghalang buatnya untuk ligat di atas pentas menjayakan Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi).
Konsert yang diiringi lebih 20 pemuzik orkestra di bawah kendalian maestro, Anto Hoed menjadikan persembahan sekitar dua jam 30 minit itu menjadi momen indah dan tidak mungkin akan dilupakan peminat.
Cerita cinta
Persembahan dimulakan dengan pilihan lagu rancak iaitu Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, seterusnya Pencinta Wanita dan Berdua Lebih Baik.
Suara sorakan dan teriakan peminat memenuhi setiap genap ruang stadium sekali gus mereka menyanyikan bersama setiap lagu didendangkan.
Kemudian, persembahan Melly beralih emosi kepada ceritera cinta yang membuai jiwa peminat.
Kurniaan Tuhan buat Melly yang mampu menyusun jutaan aksara menjadi rangkap bait kata sekali gus menghasilkan lagu luar biasa.
Boleh dikatakan, ada sahaja lagu yang ciptaan beliau tidak mengira sama ada nyanyian beliau sendiri atau penyanyi lain, pasti akan menjadi runut bunyi bagi kisah hidup pendengar.
Tidak mengira suka atau duka, begitulah kehebatan magis midas yang dimiliki oleh ibu dua anak itu.
Pada malam konsert, Melly sempat mengungkapkan rasa kasih dan sayang kepada suami.
“Saya ini tidak seberapa, tetapi mas (abang) Anto yang telah mengubah hidup saya ini menjadi sesuatu yang bermanfaat buat semua. Insya-Allah.
“Terima kasih kepada semua yang telah datang tidak mengira sama ada di Malaysia mahupun Indonesia termasuk Singapura. Kalian pendukung (penyokong) yang hebat,” katanya.
Nuansa muzik
Melly sempat menonjolkan bakat seni muziknya yang memang tiada galang ganti.
Itu terbukti apabila beliau memanggil dua penonton ke atas pentas untuk menghasilkan lirik lagu spontan.
Sekitar 15 minit, idea mendadak yang dicurahkan dua individu itu berjaya menghasilkan satu rangkap lagu yang istimewa. Meskipun tidak bertajuk, lagu dengan bait kata Malaysia untuk Palestin menjadi karya tersebut sangat bermakna sementelah wilayah Rafah menjadi destinasi terakhir 1.5 juta rakyat Palestin akibat diserang tentera Zionis.
Malah, lagu yang dicipta di atas pentas itu turut terbuka kepada ‘pemilik’ yang ingin membeli dan hasilkan disalurkan kepada dana bagi membantu rakyat Palestin.
“Lagu yang diciptakan atas pentas ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang ingin menggunakan lagu saya hasilkan dengan penonton ini kami hadiahkan dengan ikhlas,” katanya di atas pentas.
Kebetulan pada hari yang sama, komuniti Jalan-jalan Palestin turut mengadakan perarakan di sepanjang jalan Bukit Bintang berhampiran pusat beli-belah Pavilion sebagai tanda solidariti.
Kepuasan
Kembali bercakap soal konsert Melly yang menjadi ‘sekuel’ selepas kejayaan Ada Apa Dengan Melly (Back To School) pada Februari tahun lalu, penghibur hebat itu sekali lagi akan menemui peminat pada 31 Mei 2025 dengan bertema Prom Night.
Pasti ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan seterusnya. Masakan tidak, konsert pada Sabtu itu masih dirasakan tidak puas biarpun sudah didendangkan dengan 29 untaian lagu hit termasuk sebahagiannya dinyanyikan secara medley.
Apa yang boleh dikatakan, sistem audio pada malam tersebut kurang memberi kepuasan kerana beberapa kali mikrofon Melly mengalami gangguan.
Perkara itu semakin jelas apabila seorang kakitangan teknikal naik ke atas pentas untuk memberikan mikrofon kedua bagi menukar mikrofon setelah lebih satu jam persembahan.
Sedikit mengecewakan apabila terdapat beberapa bahagian nyanyian Melly terutama pada nada rendah tidak kedengaran jelas selain mencetuskan bunyi gema.
Bagaimanapun, gandingan mantap Melly dan bintang rap Joe Flizzow saat menyanyikan lagu Jika nyata luar biasa.
Lagu yang sebelum ini disampaikan secara melankolik itu berubah mendadak menjadi rancak dan disertakan dengan rap.
Kreativiti luar biasa itu membuatkan Melly yang sudah tiga dekad dalam industri itu kekal relevan sehingga ke hari ini.
Buktinya peminat sentiasa menantikan karya terkini beliau tidak mengira sama ada dinyanyikan sendiri atau penyanyi lain.
Beberapa lagu yang dipersembahkan antaranya Suara Hati Seorang Kekasih, Sampai Menutup Mata (penyanyi asal Acha Septriasa), Ayat-Ayat Cinta (Datuk Rossa), Let’s Dance Together, Menghitung Hari (Kris Dayanti), Biarlah Rahsia (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Bagaikan Langit dan Jangan Pernah Berubah (Marcell).
Terima kasih Melly atas kesudian menggamit memori dengan penuh kesempurnaan di bumi Kuala Lumpur. Sampai ketemu lagi! – HIBGLAM