Gelaran Ratu OST bertukar tangan, kini milik Marsha?

DIBERI kepercayaan menyerikan skor muzik atau berdendang menyempurnakan segmen lagu tema atau runut bunyi sesebuah naskhah drama mahupun filem ibarat tuah buat setiap penyanyi.

Jika naskhah tersebut meledak, lagu yang menjadi runut bunyi pasti terkena tempias sama, namun bukan semua penyanyi mampu meraih peluang sebegitu.

Berbeza pula halnya bagi Marsha Milan apabila lagu-lagunya bergema seiring kehangatan dua buah drama popular TV3 iaitu Lelaki Itu dengan Dulu Kini dan Akhirnya, manakala Hening Rindu kedengaran lunak menyumbang impak dramatik naskhah Aku Bukan Ustazah.

Berani mengambil risiko mempertaruhkan dua single dalam tempoh yang sangat singkat, Marsha berkata, dia tidak mempunyai pilihan memandangkan kedua-dua lagunya menjadi runut bunyi dua drama berbeza.

TAHUN ini, Marsha kembali hangat dengan single berjudul Dulu Kini, Akhirnya dan Hening Rindu yang dilihat menguatkan lagi pengaruhnya sebagai penyanyi berkredibiliti.

Meskipun serentak, dia bersama syarikat pengurusan dan komposer terlibat tetap mencari jalan bagi memastikan kedua-dua lagu berkenaan saling berkait.

Melihat jarak masa yang sangat singkat, kami buat keputusan untuk buat dua video muzik yang nampak seolah-olah drama bersiri. 

“Memang agak sukar nak jadikan dua buah lagu menjadi satu alur cerita tetapi syukur respons daripada pendengar sangat baik,” kata penyanyi berusia 38 tahun itu kepada HibGlam.

Berkongsi tentang Hening Rindu hasil ciptaan komposer Ikhwan Fattana dan Wan Salleh dan liriknya nukilan Wan Salleh, Marsha menyifatkan lagu tersebut mengembalikan suasana balada tahun 1990-an tetapi dalam sentuhan oden.

Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema Aku Bukan Ustazah yang memerlukan penghayatan emosi mendalam. 

“Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan.

Sebagai penyanyi, saya rasa perihal itu sentiasa menjadi tanggungjawab untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas (naskhah) yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

Tekanan AJL

Bercerita pengalaman sebagai penyanyi dan pelakon banyak membantunya menghayati setiap bait lirik Hening Rindu yang mengisahkan kehilangan, penghargaan dan keutuhan cinta  walaupun dipisahkan jarak serta waktu. 

Saya percaya pengalaman sebagai pelakon membantu mendalami perasaan dan mematangkan transisi emosi. 

“Sebagai penyanyi, kita perlu fahami sesebuah karya yang mahu disampaikan terlebih dahulu. Saya pula jenis yang teliti dan akan selami setiap patah perkataan dalam lirik,” jelasnya lagi.

Sama seperti lagu terdahulu, Marsha menaruh harapan untuk Hening Rindu mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL), bagaimanapun enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

ENGGAN meletakkan banyak harapan sehingga menekan emosi sendiri, Marsha hanya mahu menikmati proses seterusnya jika ada lagunya bakal sekali bersaing di pentas AJL pada edisi akan datang.

Siapa tidak mahu berada di atas pentas gah. Tetapi saya tidak letak harapan tinggi. Saya harap lagu Hening Rindu berjaya menambat hati peminat, selebihnya saya serah kepada Allah.

“Ramai meletakkan harapan dan saya tidak mahu berharap sehingga ‘overthinking’.

Sekarang, saya jadi teliti dalam membuat keputusan. Kalau boleh saya mahu momentum sentiasa ada,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan forte muziknya adalah genre balada, penyanyi kelahiran Sabah itu menjelaskan dia terbuka mencuba genre lain pada masa akan datang. 

Baca artikel penuh www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok