Festival angkat budaya Malaysia-China

MERAIKAN ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, sebuah acara Festival Budaya Filem China-Malaysia berlangsung dengan dengan jayanya selama tiga hari iaitu 21 Jun hingga 23 Jun lalu.

Julung kali diadakan, sebanyak 11 filem terbitan produksi tempatan dan China ditayangkan di pawagam DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Bukan sahaja tayangan filem, malah terdapat dua sesi forum yang menampilkan pengkiritik sinema tersohor, Hassan Muthalib dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman sebagai penceramah.

Hadir sama pada acara berkenaan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, festival tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia dan China sejak 50 tahun lalu, tetapi turut mempamerkan kreativiti pengkarya menerusi industri kreatif anak dua negara.

Filem bukan sahaja menceritakan kisah yang menarik, tetapi juga menjangkau batasan bahasa dan budaya di samping kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Pertukaran budaya ini dapat dilihat menerusi filem Rain Town oleh pengarah Melayu Tunku Mona Riza yang memberi tumpuan terhadap kehidupan keluarga berbangsa Cina,” jelasnya.

NIE Ching (lima dari kanan) bersama tetamu hadir termasuk Aron Koh (tiga dari kiri) memeriahkan pelancaran Festival Budaya Filem Budaya China-Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertindak sebagai penganjur, Aron Koh pula menjelaskan pemilihan tayangan filem pula berdasarkan eleman kebudayaan dalam naskhah tersebut.

“Filem terbabit diambil daripada pelbagai genre seperti komedi, aksi dan seram. Bukan sahaja melibatkan genre, tetapi filem itu juga perlu mempunyai elemen kebudayaan masyarakat.

Saya juga melihat banyak karya tempatan yang berjaya menghasilkan filem pecah panggung yang mampu meraih kutipan sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Industri perfileman juga secara tidak langsung dapat meningkatkan sektor pelancongan, terutama apabila diadakan festival filem seperti ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai forum yang dianjurkan, kata Koh matlamat program bagi menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan karya cerminan budaya dan kehidupan masyarakat pelbagai bangsa.

Selain isu penghasilan filem, forum sebegitu juga mampu mencungkil bakat muda yang ingin menceburi bidang pengarahan atau belakang tabir suatu hari nanti.

Dalam pada itu, Koh turut merancang untuk mengadakan Festival Budaya Filem China-Malaysia sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

Antara filem yang terlibat dalam penganjuran kali ini termasuklah, Victim, Roh, The Movie Emperor, One and Only, Small Town Heros, Creation of The God I: Kingdom of Storms, No More Bets, Prebet Sapi, Sherif: Narko Integriti, Born To Fly dan The Wandering Earth 2. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok