Dominasi pasukan bola keranjang wanita Malaysia dalam Padu

BUKAN mudah untuk membikin sebuah naskhah adaptasi peristiwa sebenar, namun demi mendokumentasikan kejayaan pasukan bola keranjang wanita Malaysia, produksi Global Station Sdn. Bhd. cuba meredah ‘arus’ menghasilkan filem Padu.

Pada awalnya, penulis agak skeptikal kerana andai niat produksi sekadar mahu mendokumentasikan kejayaan atlet negara, mungkin lebih baik terbitkan sebuah dokumentari sahaja.

Meskipun filem diinspirasi daripada pengalaman empat wirawati negara dalam sukan tersebut iaitu Kapten Izzati lakonan Fify Azmi, Naib Kapten Mulan (Jojo Goh), Center Kalai (Thanuja Ananthan) dan Jurulatih Yoong (Lim Mei Fan), elemen hiburan tidak boleh dipinggirkan.

Filem Padu membawa penonton menyingkap kepayahan dan pengorbanan skuad bola keranjang wanita negara yang sangat digeruni di Asia. – GAMBAR IHSAN GLOBAL STATION

Hal ini kerana, pada akhirnya penonton membeli tiket untuk menonton sebuah filem yang berkualiti dan menghiburkan.

Dalam filem arahan Faizal Ishak ini, perjalanan filem dibawa menerusi empat watak utama dan beberapa watak fiksyen yang direka khas demi menyedapkan jalan cerita.

Setiap pelakon dipilih berdasarkan persamaan fizikal dengan karakter sebenar, bahkan mereka menjalani latihan selama tiga bulan bersama pasukan bola keranjang Malaysia untuk kelihatan profesional di depan kamera.

Namun, mungkin durasi latihan selama tiga bulan itu tidak mencukupi kerana barisan pelakon tidak kelihatan seperti atlet profesional sebenar.

Filem Padu turut diserikan dengan penampilan pelakon serba boleh, Mark Adam.

Dari segi fizikal, kesemua pelakon Fify, Jojo dan Thanuja menepati persamaan dengan watak yang sebenar dan lakonan mereka tidak menghampakan.

Cuma dalam filem bertema kenegaraan dan kesukanan ini babak watak bapa kepada Kapten Izzati lakonan Datuk Seri Eizlan Yusof yang sentiasa menghisap rokok meskipun anak sedang mengerah tenaga adalah agak tidak logik.

Penulis faham, pengarah ingin menonjolkan rokok menjadi punca bapanya menghidapi kanser paru-paru, tetapi apabila terlalu hard sale sudah seperti iklan larangan merokok pula.

Selain itu, sayangnya filem ini menyelitkan barisan pelakon yang hebat seperti Datin Seri Umie Aida dan juga Susan Lankester tetapi hanya untuk watak yang kecil sahaja.

Semangat

Positifnya, jika tidak diterbitkan filem sebegini, mungkin tidak ramai yang tahu perjalanan pasukan bola keranjang wanita Malaysia pada Sukan Sea 2013 di Myanmar, Sukan SEABA 2014 (Semarang, Indonesia) dan Sukan Sea 2015 (Singapura).

Bahkan, tidak ramai tahu bahawa pasukan bola keranjang wanita negara didominasi oleh ketiga-tiga kaum utama bukan kaum Cina sahaja.

 Malah, Malaysia adalah antara pasukan bola keranjang wanita terbaik di Asia apabila memenangi 13 pingat emas dalam pelbagai kejohanan di Asia Tenggara.

Tidak ketinggalan peristiwa penting  yang diilhamkan daripada sejarah sukan bola keranjang antarabangsa turut dipertontonkan iaitu penarikan larangan hijab semasa permainan pasukan wanita Qatar di Sukan Asia 2014.

 

Biarpun perjalanan filem sudah dapat diagak termasuklah kehadiran watak fiksyen yang menjadi antagonis dan pelawak, filem Padu masih sebuah filem yang baik dan boleh ditonton buat seisi keluarga.

Padu sebuah filem yang straightforward, tidak berbelit-belit dan mudah difahami. 

Kisahnya mudah iaitu memburu emas buat negara dan dugaan yang dihadapi oleh seorang atlet.

Cumanya, penulis mengharapkan permainan ketika perlawanan final itu lebih sengit dan bersifat dramatik.

Secara keseluruhan, filem Padu mampu membangkitkan semangat patriotik dalam diri penonton terutama babak yang membuatkan satu dewan bangun menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok