Doakan badal haji Allahyarham Huzz dapat disempurnakan – Siti Nurhaliza

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza berhajat menaja badal haji buat bekas wartawan hiburan dan pengarang, Allahyarham Huzz yang menghembuskan nafas terakhir semalam.

Menurut Siti, hasrat itu disampaikan sendiri kepada arwah ketika dia dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menziarahi sahabatnya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Sewaktu melawat arwah (Huzz), saya dan Datuk K sempat menyampaikan khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan badal haji buat Allahyarham.

“Doakan agar urusan badal haji Allahyarham dapat pihak kami sempurnakan,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Bercerita lebih lanjut, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 45, itu mendedahkan mengenali arwah sejak awal pembabitannya dalam bidang seni suara sekitar 1995.

Menurut penyanyi nombor satu negara itu, pemergian Huzz atau Huzz atau Kamal Huzaini Kamaludin, 59, merupakan kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara.

Seorang sahabat media yang saya kenali sejak awal bergelar artis, sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan tokoh senior dalam bidang ini.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan Allah menempatkan Allahyarham di syurga,” ujarnya.

Huzz menghembuskan nafas terakhir di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang akibat komplikasi kanser usus tahap pada pukul 6.10 petang, semalam.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Permatang Langsat, Bertam.

Huzz yang sebelum ini menjadi Editor Kanan Utusan Karya mengendalikan beberapa majalah termasuk URTV, selain popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia

Sepanjang terbabit dalam dunia kewartawanan, Allahyarham pernah bekerja di Harian Nasional, Kumpulan Karangkraf dan Utusan Melayu sebelum bersama Utusan Karya – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok