PAKU kemenyan, setanggi, pisau dan pasir pernah keluar daripada badan aku.”
Demikian perkongsian pelakon dan usahawan Aeril Zafrel yang mengakui pernah diserang penyakit misteri sekitar 2010 sehingga terpaksa berehat seketika berikutan kesihatan yang terjejas secara mendadak.
Ujar Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 36, kejadian misteri yang berlaku selepas kematian bapanya itu mendorongnya berikhtiar mencari penawar sehingga 10 benda asing berjaya dibuang daripada badannya.
“Kehidupan sebelum apa aku jadi sekarang ini dan kenapa aku kurang berlakon selama ini adalah selepas ayah aku meninggal dunia.
Aku sakit, selepas maghrib aku akan sesak dada dan aku pergi berubat. Bila aku berubat, macam-macam benda yang keluar dari badan aku.
“Paling mengejutkan adalah semasa mendapatkan rawatan, paku, kemenyan, setanggi, pisau dan pasir keluar lebih 10 barang yang tak pernah aku bayangkan benda ini boleh ada dalam badan aku,” katanya dalam temu bual bersama sebuah audio siar.
Suami kepada pelakon Wawa Zainal itu berkata, pengalaman misteri yang menimpanya itu sedikit sebanyak menyuntik input ketika menjayakan naskhah bergenre mistik.
“Bila aku melalui proses berubat, ‘benda itu’ dekat dengan aku. Jadi aku faham perubatan ini macam mana.
Kadang-kadang apabila ada watak yang macam ini, aku dah melalui fasa-fasa (berubat) itu, sudah berhadapan pun dengan makhluk-makhluk yang cuba untuk menyakitkan aku, jadi perkara sebegini tidak asing untuk aku,” ujarnya.
Tiga tahun lalu bapa kepada empat cahaya mata itu juga mendedahkan pernah menjadi mangsa perbuatan sihir daripada orang yang mungkin tidak puas hati dengan kehidupannya.
Kongsinya, sihir yang ditujukan buat diri dan seluruh anggota keluarganya dapat diubati selepas mendapatkan rawatan dengan seorang pakar perubatan Islam di Selangor. – HIBGLAM