Direman, tangan dia bergari, moga jadi pengajaran – Naim Daniel

KAU tak menyesal masuk penjara hanya disebabkan mengecam Naim Daniel?”

Itu antara soalan yang dilontarkan penyanyi Naim Daniel kepada individu yang ditahan reman polis susulan tindakan menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya bulan lalu.

Menurut Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, kes tersebut kini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).

Saya ada bertemu dengan individu tersebut selama tiga jam dan pada waktu itu, saya melihat dia dalam keadaan bergari malah telah direman selama empat hari.

“Memang saya beri ceramah percuma supaya dia sedar kesalahan yang dilakukan.

“Tetapi dia hanya jawab kepada saya bahawa tindakan yang dilakukannya itu adalah disebabkan terikut dengan orang lain. Terus rasa tergamam sekejap,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita lanjut, individu berkenaan turut memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

Tindakan yang saya ambil terhadapnya adalah tepat demi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang tidak berfikir panjang sebelum melakukan kesalahan.

“Harapnya orang di luar sana khususnya netizen tidak melakukan hal sama,” ujarnya.

Susulan laporan polis yang dibuat, Naim memaklumkan tidak lagi menerima komen negatif daripada mana-mana individu.

“Lepas saya buat laporan polis, platform media sosial saya terus sunyi daripada sebarang kecaman.

Jadi, perkara sebegitu memang beri impak, sekurang-kurangnya dapat buat orang fikir panjang sebelum lakukan jenayah siber,” katanya lagi.

Terdahulu, pelantun lagu Sumpah itu membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih pada 15 Mei lalu.

Dalam tempoh beberapa hari, pihak polis mengesahkan suspek berusia 24 tahun tervavut yang telah ditahan di Kemunting, Perak selain telefon bimbit  dipercayai digunakan untuk memuat naik komen ugutan itu turut dirampas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok