Dipuji kacak jadi tomboi, Shaza Bae tak hanyut

MELAKONKAN watak tomboi bernama Sam dalam drama popular, Aku Bukan Ustazah membuatkan pelakon Shaza Bae dihujani mesej peminat wanita dalam media sosial.

Shaza atau nama penuhnya Shaza Nuriman Muhamad Zamri, 29, mengakui terkejut apatah lagi pujian yang tidak putus itu datang daripada kaum hawa.

“Ada yang hantar DM (direct messege) mengatakan saya terlalu kacak untuk jadi wanita. Kebanyakan yang hantar mesej  adalah wanita bertudung.

“Tak kurang juga ada yang cakap ‘cair’ melihat watak Sam,” katanya kepada HibGlam pada sidang akbar drama Aku Bukan Ustazah, baru-baru ini.

Melihat dari sudut positif, Shaza menganggap semua itu sekadar pujian daripada pengikut setia drama yang menjadi kegilaan ramai itu.

Shaza bagaimanapun menegaskan dia bukan peminat kaum sejenis dan meminta netizen khususnya golongan wanita tidak terlibat dengan hubungan terlarang itu.

“Jika sempat saya akan balas dah beritahu itu hanyalah watak. Harap mereka tidak kecewa apabila berjumpa saya secara bersemuka kerana saya adalah orang yang berbeza daripada watak Sam.

“Adakalanya saya hanya bagi tanda suka sahaja kerana tak mahu buat mereka terdorong ke arah perkara tidak elok (hubungan kaum sejenis),” ujarnya.

Berkongsi pengalaman menjayakan watak Sam yang juga rakan baik kepada Aminah lakonan Erysha Emyra, Shaza berkata dia hanya mendalami karakter menerusi skrip yang diberikan.

Tambahnya, dia juga sudah menetapkan sempadan antara lakonan dengan realiti sepanjang penggambaran agar tidak terbawa-bawa karakter itu dalam kehidupan harian.

“Saya ada ‘pintu’ masuk dan keluar supaya tidak terbawa-bawa watak tersebut. Ketika di set saya menjadi Sam dan selepas itu saya kembali menjadi diri sendiri iaitu Shaza Bae.

“Saya gembira kerana dapat watak berbeza daripada lakonan sebelum ini.

“Syukur ramai suka dengan watak Sam dan drama ini. Banyak perkara saya belajar daripada drama ini termasuk hukum hakam agama,” kongsinya.

Sehingga kini, drama Aku Bukan Ustazah berjaya meledak dalam media sosial dan meraih jumlah tontonan tinggi.

Selain Shaza dan Erysha, drama arahan Idora Abdul Rahmah itu turut dibintangi MK KClique, Zahiril Adzim dan Haneesya Hanee. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok