Diploma, ijazah saya ada subjek pengajian hadis – Ustaz Don

DALAM diploma dan ijazah saya ada subjek hadis.”

Demikian penjelasan pendakwah bebas, Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 40, menjawab tuduhan sebilangan pihak yang mengatakan beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian hadis.

Don berasa hairan apabila yang mempersoalkan pendidikannya dalam bidang tersebut sedangkan itu bukan satu masalah yang harus diperbesar-besarkan.

Yang saya hairan, bagaimana depa (mereka) tahu subjek yang saya belajar.

“Sebab dalam diploma dan degree (ijazah Sarjana Muda) saya ada subjek hadis. Dalam diploma terutama, kita ada belajar subjek hadis.

“Dan, masa diploma pun, kita pergi kelas pengajian hadis. Bila saya jawab begini, terbuktilah pengajaran dan pembelajaran saya tiada masalah pun. Wallahualam,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Berlapang dada dengan perbalahan yang berlaku, Don berkata, percanggahan idea dalam kalangan orang agama memang selalu berlaku dalam sesebuah musyawarah.

“Ini adalah lumrah dalam perbincangan ilmiah. Memang benda ini berlaku. Cuma, ulama tidak sensasikan.

Ada sebahagian pula, mereka sensasikan. Misalnya, kita ada jabatan mufti sebelum nak keluarkan fatwa, mereka dan ahli jawatankuasa semua berbincang.

“Dalam perbincangan itu semua ada perselisihan faham cuma tak sensasi sebab apa? Sebab itu perbincangan ilmiah. Yang menjadi tak okey apabila disensasikan dalam kalangan masyarakat awam,” jelasnya.

Sekadar info, Don melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulau Pinang (sebelah Masjid Negeri P.Pinang) pada 2002 hingga 2004 sebelum terbang ke Maahad Qiraat Shoubra, Mesir bagi ijazah Sarjana Muda (2005 hingga 2008).

Malam tadi, Don menegaskan berlaku salah faham apabila perkongsiannya dimanipulasi sehingga digugurkan daripada mengendalikan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah.

Katanya, topik menghormati guru bukan hadis seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya merupakan petikan kitab tulisan imam Masjidil Haram.

Petang semalam, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman membuat pengumuman mengejutkan apabila program yang berbaki empat episod itu tidak lagi menampilkan pendakwah terbabit.

Ini susulan dakwaan mengatakan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah, malam kelmarin.

Sebelum ini, Don direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Salam Baitullah merupakan program terbitan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula pada 2 hingga 17 Jun 2024. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok