‘Dia ibu anak-anak saya, berhak dapat hak penjagaan penuh’

ENGGAN berebut, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz memilih untuk menyerahkan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada Bella Astillah.

Ujar Aliff atau nama sebenarnya Muhamad Aliff Aziz, 33, dia berbuat demikian kerana menganggap Bella lebih berhak memandangkan bekas isterinya itu merupakan ibu kandung kepada anak-anak mereka.

Hak penjagaan anak saya beri sepenuhnya kepada Bella sebab dia adalah ibu kandung kepada anak-anak kami.

“Kami akan berbaik sahaja demi kepentingan anak-anak, insya-Allah.

Saya enggan mengulas perkara itu secara terperinci tetapi apa yang dibincangkan dalam mahkamah, itulah keputusannya,” katanya kepada HibGlam sejurus selesai kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Disoal mengenai kerjaya selepas ini, pelantun lagu Sayang Sayang itu menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Saya dalam fasa berehat sebentar (kerjaya seni) demi kesihatan mental.

“Hari ini merupakan hari yang ‘hectic’ (letih) bagi saya.

Berkenaan rezeki, saya percaya segalanya ada di tangan Allah, saya kini lebih kepada muhasabah diri,” ujarnya tenang.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Aliff dan Bella akhirnya menemui titik noktah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Kuala Lumpur, pada Khamis.

Imbas kembali, Bella memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada 11 Mac lalu.

Untuk rekod, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan  dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean serta Ara Adreanna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok