HASRAT usahawan dikenali sebagai Datuk Noora Kay mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Azri Iskandar tidak kesampaian apabila hubungan cinta mereka bernoktah sekitar Mei lalu.
Perkara itu disahkan sendiri Noora Kay, 48, yang memaklumkan dirinya kini kembali ‘solo’.
“Saya serahkan jodoh kepada ketentuan Allah SWT dan tak boleh nak kupas lebih terperinci. Apa yang saya boleh cakap, sekarang saya single.
Ya, saya dah putus dengan Azri. Sekarang saya tak mengharapkan apa-apa dan saya lebih selesa hidup solo bersama anak.
“Saya anggap tiada keserasian antara kami,” katanya.
Ujarnya, meskipun sudah berpisah, hubungan dengan Azri masih baik.
Kami masih mengekalkan hubungan baik. Buat apa nak bergaduh, kami bukan muda lagi,” jelasnya.
Sekitar Mei lalu, Azri, 56, dikatakan menemui calon isteri baharu iaitu Noora yang juga usahawan berstatus ibu tunggal dikenalinya beberapa bulan lalu.
Hubungan pasangan itu turut disenangi bekas isteri Azri iaitu aktres, Ellie Suriaty yang turut terlibat untuk membantu menguruskan perkahwinan Azri dengan Noora.
Untuk rekod, Azri dan Ellie bercerai talak satu pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15 tahun. – HIBGLAM