DUA dekad bergelar pelakon, satu perjalanan yang cukup panjang, namun masih belum memberi kepuasan buat Aedy Ashraf.
Bukan berlagak mahupun megah dengan kemampuan diri, Aedy berasakan masih ada watak yang belum dilakonkannya terutama pada usia yang semakin bertambah.
Baginya, sikap terus memburu karya dan naskhah yang hebat serta berkualiti masih menjadi prioriti meskipun sudah memulakan kerjaya seni seawal 10 tahun.
Bertemu empat mata dengan jejaka tinggi lampai itu baru-baru ini, Aedy menegaskan, dia kini selektif dalam memilih karya berkualiti untuk dijayakan.
Bagi memastikan dirinya berpeluang memegang watak yang sesuai dengan kemampuan diri, dia juga terbuka untuk menyertai atau menghadiri mana-mana sesi uji bakat yang diadakan mana-mana rumah produksi.
Perkara itu yang dilakukan Aedy baru-baru ini sehingga namanya berjaya tersenarai antara barisan pelakon filem Kahar Kapla High Council bagi membawakan watak Beja.
“Saya tetap menjalani uji bakat dengan menghantar video kepada pihak produksi untuk penilaian. Tidak sangka saya dapat menjadi salah seorang pelakon utama.
“Lebih dua bulan juga saya mengunci mulut dan tidak menjawab pertanyaan kawan-kawan mengenai projek terbaharu yang bakal saya jayakan ini,” katanya penuh teruja.
Jelasnya, setiap pelakon harus hadir ke sesi uji bakat bagi memastikan kelayakan diri dengan watak yang ditawarkan dan usah malu sekiranya gagal meraih peluang diimpikan.
“Apabila saya diumumkan berjaya melepasi sesi uji bakat tersebut, memang seronok dan bangga dengan kemampuan diri.
“Saya rasa uji bakat adalah proses yang penting. Bukan hendak lihat kehebatan seseorang sangat tetapi lebih kepada memberi peluang kepada produksi untuk mencari seseorang yang sesuai dengan watak ditawarkan.
“Pelakon di luar sana jangan malu pergi uji bakat. Jika gagal, mungkin kita tak sesuai untuk watak, bukan bermaksud kita tak bagus,” tuturnya.
Tidak hanya itu, watak Beja seperti menderaskan adrenalinnya sebagai pelakon apabila memberinya peluang memaparkan kelebihannya untuk bertutur dalam dialek Kelantan.
Kongsi pemilik nama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu, ini merupakan naskhah pertama yang membenarkan dia bermain dengan watak sebagai lelaki kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Secara jujurnya ini antara naskhah yang paling membuatkan saya teruja sebagai seorang pelakon.
“Saya orang Kelantan, dilahirkan di sana walaupun membesar di KL namun, sepanjang bergelar pelakon, saya tak pernah ditawarkan watak yang memerlukan saya bertutur dialek Kelantan.
“Pernah berdialog dalam dialek Perak, Kedah dan Pahang tetapi bukan Kelantan. Jadi, apabila saya dapat tawaran ini, memang tak pandang belakang lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, aktor berusia 30 tahun itu turut menegaskan filem tersebut akan menjadi naskhah terakhirnya melakonkan watak sebagai pelajar sekolah.
Tidak lagi mahu menjayakan watak pelajar sekolah adalah termasuk dalam pendiriannya iaitu selektif memilih watak yang lebih matang dan seiring dengan usianya.
Namun, demi watak Beja, dia sanggup untuk mengenepikan pendiriannya itu.
“Ada juga yang mempersoalkan saya mengapa masih tertarik untuk membawakan watak Beja biarpun pernah memberitahu tidak mahu lagi memainkan watak pelajar sekolah.
“Jujurnya, saya sudah ‘tutup’ zaman persekolahan saya dalam zaman Projek: Anchor SPM.
“Tetapi apabila ada sebuah lagi naskhah seperti ini yang saya tidak boleh nak tolak kerana tawarannya lebih menarik, mungkin ini adalah (projek) terakhir sebagai watak budak sekolah,” tuturnya. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.