Bukan ‘stunt girl’, Kaka Azraff tersingkir The Hardest Singing Show

PENYANYI Kaka Azraff menjadi artis pertama tersingkir di minggu keempat program televisyen The Hardest Singing Show (THSS) yang bersiaran di Pusat Konvensyem CIDB, Cheras semalam.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Azraff, 35, berkata, dia sudah mempunyai firasat bahawa akan meninggalkan pentas pada persembahan malam itu.

“Saya sudah ada instinct (gerak hati) kerana THSS ini bukan saya.

“Saya sudah ada identiti sendiri di atas pentas dan apabila melakukan bahagian yang sukar itu, agak sukar kerana itu bukan identiti saya,” katanya.

Kaka juga sempat ‘bergurau’ mengatakan penyingkirannya itu bukan peserta kegemaran juri.

“Juri tidak suka saya nak buat macam mana. Saja bagi sikit.

“Tidaklah. Saya rasa THSS  kena ada elemen the hardest itu. Saya rasa tidak cukup bukan saja dari segi nyanyian, kena melihat persembahan.

“Saya pula bukan stunt girl (lagak ngeri), terapi saya gembira melihat rakan-rakan saya buat persembahan,” jelasnya.

Meskipun tersingkir, Kaka menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan berterima kasih kepada mereka yang telah memberi sokongan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kaka Azraff Team. Saya tidak tahu saya ada peminat, bila masuk rancangan ini saya ada kelab peminat.

“Terima kasih kepada semua. Paling penting ini bukan pengakhiran kerana selepas ini saya akan terbitkan lagu baharu.

“Saya ada banyak perancangan. Setiap yang berlaku itu ada sebabnya, Allah sudah susun semuanya. Jadi kita jalan saja dengan hati terbuka, gembira dan senyum,” katanya.

Pada minggu keempat itu Kaka mempersembahkan lagu Bawa Daku Pergi nyanyian asal dirinya sendiri dan Zizan Razak.

Untuk info, setiap persembahan diadili oleh barisan juri profesional iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Rossa dan Zizan Razak.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok