“SAYA sudah lama ‘move on’ dan cuba hidup tenang.”
Itu kata pelakon dan penyanyi Bella Astillah sekali gus menafikan dakwaan sudah berbaik dengan suamimya, Aliff Aziz.
Kecewa banyak fakta diputarbelit pelbagai pihak ketika ini, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, dia hanya meminta orang ramai berhenti mengecamnya disebabkan dakwaan tersebut.
“Saya minta tolong untuk berhenti buat tanggapan sendiri, dengar gosip dan akhirnya netizen tak tahu menahu yang hanya baca headline sahaja terus mengecam Bella,” katanya dalam InstaStory.
Dalam pada itu, dia menegaskan tindakan menolak ditemu bual mutakhir ini kerana enggan timbul spekulasi sebegitu yang dicetuskan oleh portal-portal berita.
“Sebab itu, saya sudah beberapa kali menolak untuk ditemu bual kerana pada akhirnya akan terjadi berita sebegini.
“Jawab salah, tak jawab dikata sombong. Bila wakil saya jawab, macam inilah jadinya. Semua fakta dipusing.
“Saya hormat kerja media tetapi tolong hormat juga empunya badan. Tak bermakna bila saya tak nak jawab, sangkaan anda semua itu betul,” jelasnya.
Semalam, Bella enggan mengulas dakwaan sudah berbaik dengan Aliff dan kini lebih selesa memberi tumpuan terhafap kerjaya seninya termasuk pelancaran single bersama adiknya, Didi Astillah.
Bagaimanapun, banyak pihak memutarbelit kenyataannya dan mula menyebarkan dakwaan palsu bahawa dia sudah berbaik dengan Aliff.
Perkara tersebut seterusnya mengundang kecaman ramai yang kecewa sekiranya situasi berkenaan benar-benar berlaku.
Pada 13 Mac lalu, Bella mengejutkan ramai apabila nekad memfailkan permohonan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas aktor itu ditangkap khalwat dengan aktres Ruhainies pada 9 Mac lalu.
Kes tuntutan perceraian yang sepatutnya berlangsung hari ini ditunda dan disambung semula pada 13 Jun depan.
Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3 tahun. – HIBGLAM