BAGAI hilang separuh nyawa, isteri seniman terkenal, Allayarham Pyanhabib, Zurina Zakaria bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana dapat berada disamping suami tercinta sehingga nafas terakhirnya.
Zurina, 58, berkata, sebelum meninggal dunia, arwah mengadu sudah beberapa hari penglihatannya terganggu.
Tiga hari lalu dia mengadu penglihatan kabur dan tidak dapat melihat dengan baik. Ada beberapa kali juga dia marah disebabkan perkara itu.
“Sebelum meninggal arwah ingin ke tandas, saya ada bertanya sama ada perlukan pertolongan atau tidak tetapi katanya tak perlu kerana ingin melakukannya sendiri.
Saya biarkan dia menguruskan diri dalam bilik air. Disebabkan terlalu lama, saya khuatir jika ada perkara buruk berlalu kerana sebelum itu dia pernah terjatuh dalam bilik air. Saya masuk dan dapati dia sedang tidur,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Zurina, dia kemudian memapah Pyanhabib keluar dari tandas dan duduk di sofa sebelum menyedari perubahan suaminya yang mengalami kesukaran bernafas.
“Ketika itu nak masuk waktu isyak. Semasa saya rangkul, dia memang sudah nampak lemah dan nafasnya ada bunyi.
Waktu itu kepala suami atas bahu dan saya ingat dia sudah meninggal dunia. Kemudian, saya hubungi ambulans dan sementara tunggu sampai, mereka minta saya buat bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
“Bagaimanapun keadaannya tetap lemah. Saya cuma kata jika ingin pergi, pergi saja jangan tangguh-tangguh. Awak pergi dulu nanti saya ikut. Kemudian saya mengajarnya mengucap dan perlahan-lahan saya nampak air mata arwah mengering dan matanya tertutup,” katanya.
Sambung Zurina, sebaik ambulans tiba di kediaman mereka, pihak perubatan mengesahkan Allahyarham sudah tiada.
Sementara itu anak sulung arwah iaitu Najihah Mohd Supyan, 31, mengakui terkejut menerima perkabaran kematian bapanya.
“Sebagai anak saya sangat terkejut dan menangis apabila dapat tahu ayah meninggal dunia.
Selepas dapat panggilan daripada ibu yang hanya cakap ‘balik’ tanpa beri apa-apa penjelasan, saya terus bergegas pulang ke Kuala Lumpur dari Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lanjut, Najihah memaklumkan ibunya ada membawa Allahyarham ke klini untuk membuat pemeriksaan kesihatan memandangkan bapanya mengalami bengkak kaki, perut kembung dan batuk.
Semalam (Selasa) ibu beritahu ada bawa ayah ke klinik kerana kakinya bengkak, perut kembung dan batuk.
“Selepas Maghrib, keadaan ayah semakin lemah. Dia sempat buat panggilan video denga saya dan cucunya. Ketika itu ayah nampak lemah sangat,” ujarnya.
Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat, malam semalam.
Allahyarham meninggal dunia seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-66.
Jenazah Pyanhabib dimandikan di Masjid As-Sobirin di Lembah Keramat, Ampang pada pukul 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4. – HIBGLAM