Artis Melayu, Islam tak sesuai ambil pendirian neutral – Ramona Zamzam

PELAKON Ramona Zamzam enggan ‘pusing’ sekiranya ada rakan selebriti terasa hati dengan teguran dan kelantangannya berhubung kempen Blockout 2024 yang kecoh dalam media sosial baru-baru ini.

Menurut Ramona atau Ros Ramona Zamzam, 34, kelantangannya mengenai isu tersebut adalah kerana ingin menyebarkan kesedaran dalam kalangan selebriti tanah air yang masih berdegil untuk menunjukkan sokongan terhadap bumi Palestin.

Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas. Sebenarnya ayat tak tujukan teguran itu kepada mana-mana pihak pun.

“Namun, kalau ada yang terasa, silakan. Saya harap mereka rasa tertampar dengan teguran yang saya berikan,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Polis Peronda di sini, semalam.

Meskipun lantang menyelar segelintir pihak berhubung kempen Blockout 2024, Ramona bagaimanapun bersyukur tidak menerima sebarang ancaman setakat ini.

Sehingga hari ini, memang tiada siapa yang datang menyerang secara berdepan atau fizikal.

“Namun, saya tahu bahawa pasti ramai yang tak berpuas hati dengan saya,” ujarnya.

Tambahnya, penggiat dunia hiburan tanah air sememangnya tidak dapat lari daripada kepalsuan namun perkara itu tidak sepatutnya berlaku apabila melibatkan isu berkaitan Palestin.

Memanglah dalam industri hiburan ini kena tunjukkan ‘kepalsuan’ dalam diri mereka, tetapi bila bercakap tentang kemanusiaan saya rasa sikap begitu perlu ada.

“Bagi saya tak sesuai untuk awak menjadi neutral, lagi-lagi pula mereka adalah artis berbangsa Melayu dan beragama Islam yang duduk di Malaysia.

Jadi, kita kena ada pendirian untuk memilih sama ada sokong atau tidak. Rasa kecewa juga melihat ramai mahu jadi neutral,” katanya lagi.

Pada Mei lalu, Ramona meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir artis dan pempengaruh yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan tentang nasib rakyat Palestin selepas berdepan dengan ancaman boikot, Blockout 2024.

Sebelum itu, beberapa selebriti tanah air dinamakan dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa masih menjalinkan kerjasama dengan jenama penyokong Israel.

Antara selebriti Malaysia yang berada dalam senarai sama ialah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.

Susulan itu, netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti-selebriti terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok