Amelia Christie tak buru-buru cari kekasih

HAYAT karier seninya baru ‘setahun jagung’, namun kepanasan yang diraih melewah mengatasi pencapaian, semuanya dek sensasi percintaan dengan aktor berimej garang, Sharnaaz Ahmad.

Cuma, sejak cerita panas mereka reda,  nama Amelia Christie juga seakan-akan menjauhi ‘algoritma’ dunia hiburan. Wajahnya sebelum ini kerap muncul dalam televisyen menerusi beberapa buah drama seperti Histeria The Series, Gamers Mangkuk dan Budak Hostel Otaknya Sewel seperti hilang dibawa arus. Sangat pemalu dan manja, itu karakter awal yang dipertontonkan Amelia kepada penulis sepanjang sesi fotografi sebagai penghias ampul muka depan Pose minggu ini. 

Namun, karakter sebaliknya muncul ketika ditemu bual iaitu memiliki hati sensitif, namun memiliki jiwa yang sangat kental dalam melalui momen menyakitkan dalam hidupnya.

Pertemuan istimewa kali ini menyelongkar  1,001 persoalan. Kata Amelia, dia menghilang bukan sebab putus cinta sebaliknya menanti naskhah yang mencabar kemampuan diri.

Keluar zon selesa

Kongsi pemilik nama penuh Amelia Christie Lim, bukan mahu memilih apatah lagi cerewet, namun sejujurnya, dia mengimpikan watak yang benar-benar mampu mencabar kemampuan lakonannya.

“Sebelum ini, semua watak yang saya dapat sebagai pelajar sekolah atau remaja. 

“Bukan bosan cuma terlalu kerap melakukan hal sama, jadi rasanya sudah tiba masa untuk cabar diri melakonkan sesuatu yang lebih dewasa seperti watak heroin,” katanya kepada Pose.

Mengimpikan peluang beraksi genre komedi romantik, Amelia percaya mampu melakukannya seperti pelakon lain.

“Saya lihat watak komedi romantik perlukan banyak permainan emosi. Bukan senang nak buat orang ketawa dan rasa dilamun cinta.

“Emosi juga seperti turun naik, boleh sedih, marah, gembira dan sebagainya. Itu yang saya mahukan ketika ini.

“Harap ada rezeki untuk naskhah sebegitu selepas ini. Tidak mengapalah tunggu lama sedikit, asalkan berbaloi untuk kerjaya seni,” jelasnya.

Sedar mengenai lambakan pelakon wanita baru hari ini, Amelia bagaimanapun tidak pernah mempedulikan hal tersebut apatah lagi mahu berasa cemburu tawaran lakonan.

“Dalam kamus hidup saya, tiada istilah bersaing mahupun pesaing. Semua itu adalah rezeki.

“Tak perlu bersaing pun sebab masing-masing ada cara dan bakat tersendiri.

“Saya mahupun pelakon baru lain juga tak suka dibanding-bandingkan, sentiasalah percaya dengan apa yang Tuhan sudah aturkan,” ujarnya.

Selain lakonan, dia juga sibuk memberi fokus terhadap bisnes produk penjagaan rambut jenama sendiri.

“Ketika ini kerjaya seni memang terhenti seketika dan saya beri tumpuan penuh terhadap produk saya.

“Selepas ini, bisnes dan kerjaya seni akan bergerak seiring dan kalau boleh mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya satu hari nanti,” katanya lagi.

Media sosial menakutkan

Tidak berlama-lama bercerita tentang kerjaya, wanita kecil molek itu turut mengakui turut terkena kejutan budaya atau culture shock dengan kegilaan dalam kalangan pengguna media sosial hari ini.

Katanya, itu antara perkara yang mula disedari selepas hampir lima tahun bergelar anak seni.

“Media sosial adalah platform yang kita tidak boleh jangka. Memang mampu beri rezeki tetapi dalam masa sama semuanya boleh bertukar sekelip mata. 

“Mereka yang suka dan puji kita akan bertukar benci dalam tempoh sesaat. 

“Platform itu memang boleh jadi sangat toksik!” tuturnya.

Peribadi

Sempat penulis mengungkit sepotong kisah hati yang sebelum ini menyorot perhatian ramai, Amelia berulang kali menolak secara baik daripada berbicara isu lama.

Baginya, semua itu hanya masa lalu yang dikenang, sama ada dia mahupun Sharnaaz Ahnad, kedua-duanya sudah  bergerak di haluan berbeza.

“Saya kalau boleh tak mahu lagi wujud cerita berkaitan pihak sana (Sharnaaz) atau saya sebab semuanya sudah berakhir.

“Bagi saya putus cinta adalah perkara normal yang berlaku kepada rata-rata orang dalam sesebuah hubungan. 

“Kita memang merancang tetapi Tuhan sudah aturkan semuanya dan kita terima sahajalah,” katanya yang tidak lagi bertemu dengan anak lelaki Sharnaaz, Jebat Jayden sejak hubungan bersama si bapa kanak-kanak comel itu  terlerai sekitar Februari lalu.

Diusik kriteria lelaki yang diinginkan untuk dijadikan sebagai suami, Amelia menekankan aspek latar belakang keluarga.

Sambil berkongsi hal tersebut dalam nada sebak, sesekali terlihat Amelia menyeka air mata kerana terkenang ibu bapanya yang sudah menghadap Ilahi.

“Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga berpecah belah. 

“Jadi, pastinya saya mahu seorang lelaki yang mampu beri kebahagiaan berkeluarga yang tidak pernah saya rasai sebelum ini.

“Tidak perlu keluarga yang besar, kecil sahaja sudah mencukupi, namun saya tidak rushing mencari teman hidup ketika ini. 

“Biarlah semuanya hadir dengan kehendak-Nya,” kongsinya.

Digelar ‘perempuan mahal’ kerana tidak meroyan dalam media sosial selepas putus cinta, dia menerima baik pujian tersebut.

“Saya ada baca komen sebegitu dan terima kasih kerana memuji. Tapi itulah cara saya, tidak berkongsi hal peribadi dalam media sosial.

“Semuanya biarlah saya simpan sendiri, tidak perlu meroyan atau saling berbalas kenyataan sebab semua itu akan mengeruhkan lagi keadaan,” ujarnya mengakhiri temu bual. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok