Alyph buat lagu bukan kejar viral

SELEPAS meroket dengan Swipe tahun lalu, Alyph terus mewarnai kanvas seninya menerusi sebuah lagi single berjudul Dari Jauh.

Istimewanya kali ini, dia bekerjasama dengan penulis lirik terkenal Indonesia, Teddy Adhitya yang disifatkan Alyph memiliki bakat luar biasa.

Akuinya, menghasilkan lagu bersama penulis lirik lain dilihat sebagai satu kelainan memandangkan dia sukar memberi kepercayaan kepada orang lain untuk menghasilkan sesebuah karya nyanyian sendiri.

Tak kejar fenomena

“Ini merupakan kali pertama saya menghasilkan dan memiliki keyakinan memberi peluang berkarya bersama penulis lain.

Sejujurnya, saya memang ada isu kepercayaan. Bukan tamak atau sombong untuk bekerjasama dengan penulis lain, tetapi sebab sudah terbiasa seorang diri.

“Kali ini lain, ibarat lakukan terjun udara, ambil risiko. Memang saya banyak bertindak tanpa fikir semasak-masaknya. Hanya bersandarkan firasat semata-mata,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Kongsinya, bekerja dengan Teddy satu pengalaman menarik kerana dapat meneroka sisi lain dunia muzik.

Bekerja dengan Teddy sangat menarik. Saya ada cakap pada dia yang ‘tolong hasilkan sesuatu yang saya harap saya boleh buat’ sebab saya tahu muzik katalog saya.

“Jadi untuk bersama penulis lagu dan produser dalam projek kali ini, jiwa memang agak terseksa tetapi syukur kerjasama ini berjalan lancar, syukur mereka juga baik.

“Jadi dengan terhasilnya karya ini, saya anggap ini platform untuk meneroka lebih banyak cabang dan genre muzik dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Bercerita tentang alur cerita, Dari Jauh merupakan sebuah lagu putus cinta yang menyakitkan iaitu kisah seseorang yang tidak pernah memberikan waktu dan perhatian terhadap hubungan dengan kekasih sendiri.

Ilham untuk lagu ini datang daripada kita yang tidak pernah bersyukur dengan semua yang dimiliki sehinggalah sesuatu situasi berubah atau kehilangan individu tersayang,” kongsinya ringkas.

Ditanya sama ada meletakkan harapan tinggi untuk Dari Jauh dan berharap meledak seperti lagu Swipe sebelum ini, dia hanya menyerahkan soal rezeki kepada Tuhan.

Fenomena adalah rezeki, saya buat lagu bukan untuk mengejar viral sebaliknya hanya mahu hasilkan sesuatu yang terbaik untuk pendengar.

“Sebenarnya saya sedikit hampa, apabila kebanyakan pendengar hanya menghafal bahagian korus Swipe walaupun single itu menjadi fenomena. Situasi itu jelas saya lihat ketika mana saya persembahkan lagu itu secara live. 

“Situasi itu menyedarkan saya bahawa populariti sesebuah lagu menjadi semakin singkat. Corak penerimaan pendengar sudah berubah,” tambahnya.

Album, Sleeq

Dalam perkembangan lain, Alyph bakal melakar pencapaian tersendiri dengan menerbitkan album sulung tidak lama lagi.

Masih dalam proses pembikinan, album berkenaan dijangka memuatkan lebih 10 lagu yang sudah pun direkodkan, namun menunggu tempoh yang sesuai untuk diterbitkan.

Dalam hidup, saya tak banyak merancang. Selepas kumpulan Sleeq dibubarkan, saya bermula solo.

“Dalam tempoh tersebut, saya terbabit dengan banyak projek melibatkan artis lain termasuk Sonaone, Kaka Azraff, Andi Bernadee dan ramai lagi. 

“Sehinggalah pandemik melanda, barulah saya sedar yang saya perlu terbitkan album untuk diri sendiri,” jelasnya.

Katanya, menghasilkan album bukan proses yang mudah, sementelah perlu memilih material berkualiti untuk dimuatkan.

Buat album bukan perkara mudah, saya kena imbau semula perjalanan saya selepas keluar Sleeq sehinggalah sekarang. 

“Proses itu memang makan masa, namun saya tetap mahu terbitkan album tersebut untuk diri sendiri dan peminat,” kongsinya.

Tidak terlepas daripada disoal sama ada akan mempertimbangkan keinginan ramai yang mahu Sleeq iaitu gabungan bersama Ahmad Shariff kembali memeriahkan industri muzik, Alyph bertegas perkara tersebut tidak akan terealisasi.

Tenang di satu sudut, Alyph bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk membuang bayang-bayang dan ‘jenama’ Sleeq daripada dirinya.

Hal ini kerana, suka atau tidak, dia bermula dalam industri daripada jenama kumpulan tersebut yang memperkenalkan namanya.

“Memang ada peminat minta kami bergabung kerana rindukan muzik Sleeq. Bagi saya, kalau mereka rindukan Sleeq, dengar sahaja lagu sedia ada.

“Kami masih berkomunikasi kerana Syarif dan saya adalah sepupu.

“Kalau bergaduh pun bermaaf-maafan sahaja masa raya.

Cuma memang tiada sebarang perancangan menghidupkan semula Sleeq kerana kini lebih selesa dengan kerjaya solo,” katanya menutup bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok